hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ketamin dan syabu selepas menahan seorang lelaki serta merampas 439 kilogram dadah bernilai RM17.78 juta di sebuah rumah di Taman Sri Hartamas, di sini, Selasa lalu.
Serbuan jam 2.10 petang itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas risikan dijalankan selama sebulan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan ke atas rumah teres itu menemui 224 bungkus dadah syabu dengan anggaran berat 234 kg.
“Selain itu, polis turut menemui 200 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 205.7 kg.
“Susulan penemuan dadah itu, polis menahan lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang berperanan sebagai koordinator dan ‘transporter’ kepada sindiket berkenaan yang menerima gaji RM7,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hussein berkata, siasatan awal mendapati sindiket menjadikan rumah teres terbabit sebagai stor penyimpanan dadah sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan.
“Semua dadah ini dibawa masuk melalui jalan darat dari negara jiran oleh sindiket berkenaan. Kita percaya lelaki berkenaan menerima arahan dari seseorang untuk menghantar dadah sekiranya terdapat permintaan.
“Polis kini sedang mengesan jaringan kumpulan sindiket ini, polis percaya masih terdapat saki-baki ahli sindiket,” katanya.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang penggunaan dadah.
“Hasil semakan terhadap rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan senjata. Menerusi serbuan ini polis turut menyita pelbagai jenis aset bernilai RM93,350.
“Suspek direman selama enam hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




