saifulaffendy@hmetro.com.my
Sepang: Selepas cemerlang merangkul lima pingat emas di Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, atlet boling remaja negara, Qurratu’ain Izdihar Pozi kini mengimpikan untuk meraih keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula.
Atlet berusia 17 tahun itu yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abu Bakar Baginda berkata, kejayaan terbaru itu nyata melonjakkan semangatnya untuk cemerlang dalam bidang sukan serta pelajaran.
Qurratu’ain berkata, sememangnya sukar untuk dirinya memberi fokus antara akademik dan sesi latihan kerana kedua-duanya memerlukan komitmen tinggi.
“Selepas kejayaan ini saya nak fokus dua-duanya iaitu akademik dan latihan untuk persiapan sertai kejohanan.
“Jadual harian saya biasanya sebelah pagi akan pergi ke sekolah dan kemudian pada sebelah petang akan mula jalani latihan. Kemudian di sebelah malam barulah saya ada masa untuk belajar dan siapkan semua kerja sekolah.
“Perkara paling sukar sekarang adalah untuk seimbangkan antara akademik dan sukan. Ibu bapa saya minta fokus kepada kedua-duanya. Maknanya mereka mahu saya bagus dalam sukan boling, begitu juga dengan pelajaran,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama pasukan boling remaja negara, hari ini.
Qurratu’ain berkata, meskipun meraih pencapaian cemerlang, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk tersenarai beraksi di Sukan SEA Thailand, Disember depan.
“Saya harap tersenarai, tetapi buat masa sekarang, saya hanya nak fokus kepada sesi latihan sahaja,” katanya.
Qurratu’ain berkata, tumpuannya kini terarah kepada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 21 Tahun yang akan berlangsung di Sunway Mega Lanes hujung bulan ini.
Pada aksi di Doha, dia menyapu bersih semua acara individu wanita, beregu, berpasukan, All Events dan Masters, sekali gus menjadi tonggak utama kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan dengan meraih tujuh pingat emas, satu perak dan lima gangsa.
Qurratu’ain, yang juga juara remaja kebangsaan turut membuktikan keupayaannya bersaing di pentas senior apabila meraih tempat ketiga dalam acara Terbuka Wanita pada Kejohanan Terbuka Hong Kong baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




