am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seramai 108,409 penagih dadah direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun ini dan ia menyaksikan penurunan 10.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 121,170.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata, Kelantan juga menyaksikan penurunan 5.4 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama 2024.
Katanya, penurunan itu ada kaitan dengan usaha dan inisiatif yang diambil oleh pelbagai pihak membabitkan aktiviti penguatkuasaan dan pelaksanaan program pendidikan pencegahan serta kawalan di sempadan.
“Penutupan jalan tikus serta pangkalan haram membolehkan aktiviti keluar masuk bahan terlarang dari negara jiran dikawal selia secara lebih teratur.
“Tugas polis membabitkan penguatkuasaan manakala AADK pula, kami adakan kempen pencegahan di semua peringkat.
“Hasilnya, untuk tiga bulan pertama tahun ini, kita dapati ia positif dengan merekodkan penurunan dan berharap, data yang seterusnya juga akan terus menunjukkan penurunan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah AADK Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud, di sini, hari ini.
Mengulas berkaitan mesyuarat itu, beliau berkata, empat pembentangan dibuat dengan dua berkaitan laporan statistik penyalahgunaan dadah di Kelantan oleh AADK.
“Bagi laporan senario dadah di Kelantan, ia dibentang PDRM selain kertas laporan Kajian Penggunaan Epam dan Magic Mushroom dalam Kalangan Belia di Kelantan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




