harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 1,005 individu menerusi 228 operasi Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) bermula Januari hingga Ogos.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, ia membabitkan rampasan mencecah RM1 bilion.
“Sebanyak 228 serbuan dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah meliputi negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Di Selangor sahaja, 10 serbuan dilaksanakan dan 15 tekong darat ditahan dalam tempoh itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tekong ditahan terdiri daripada lapan warga tempatan dan tujuh Indonesia, serta 224 pendatang asing tanpa izin PATI turut ditahan di pantai sekitar Selangor.
Hakemal berkata, pihaknya turut merampas 10,35 kilogram (kg) syabu, 3.60 kg pil ekstasi dan beberapa kenderaan membabitkan nilai rampasan 1.5 juta di Selangor, baru-baru ini.
Katanya, kejayaan itu membuktikan komitmen Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) membanteras jenayah menerusi PGA khususnya.
“Pihak polis menyeru kerjasama masyarakat untuk menjadi barisan hadapan dalam menyalurkan maklumat.
“Orang ramai boleh menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan demi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan dan aktiviti haram,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd