Penyanyi Noraniza Idris tampil meluahkan rasa kecewa terhadap mutu perkhidmatan penghantaran yang disifatkan telah memberi kesan negatif kepada kelangsungan perniagaan produknya, Che Ani Premium.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun rasmi TikTok @cheanipremium, Noraniza atau lebih dikenali sebagai Kak Ani secara terbuka menegur sikap tidak prihatin dan cuai segelintir kakitangan syarikat kurier yang mengendalikan penghantaran parcel pelanggan mereka.
“Tahu tak, lebih 50 peratus barang-barang yang dipulangkan semula kepada kami perlu diberikan refund hanya disebabkan kamu orang. Semua rosak! Habis dicampak walaupun dah ada sticker ‘fragile’. Tak reti bacakah?” ujar Kak Ani kecewa.
Pelantun lagu Manira ini turut berkongsi isu yang timbul bukan sahaja melibatkan kerosakan fizikal semasa penghantaran, malah terdapat kes kehilangan barang walaupun bungkusan telah disediakan dengan teliti dan sempurna sebelum dihantar.
“Bos-bos syarikat penghantaran sekalian, kamu tahu tak, ada staf korang yang dah curi barang dekat parcel Che Ani Premium? Kami dah balut cantik-cantik, bila sampai, lain pula plastiknya. Bila buka, barang tak cukup. Siapa yang ambil?
@cheanipremium Siapa lagi yang kena macam kami? Cuba Tag di comment.. Wahai pihak atasan J&T.. apa nak jadi dengan kualiti yang korang bagi ni? Tegur staff elok2, di maki balik.. macam mana nak maju business kalau pihak tengah menghancurkan perkembangan nya?! Mintak tolong boss2 J&T turun padang sikit! #jnt #fyp #fypシ #viral #trending ♬ original sound – CHE ANI PREMIUM
“Apabila customer kami complaint, apa yang mereka dapat? Jawapan mudah; ‘bukan salah rider, seller tak balut betul-betul’. Banyak cantik muka korang. Macam mana korang buat kerja macam ni? Tak amanah langsung,” tambahnya.
Lebih membimbangkan, Kak Ani percaya situasi seumpama ini mungkin turut dihadapi oleh ramai usahawan lain yang memilih untuk berdiam diri.
“Aku yakin bukan kami saja yang kena. Ramai lagi usahawan lain yang senasib, cuma mungkin tak bersuara. Tapi cukup sekali lagi perkara ni berlaku, kau siap!” tegasnya.
Che Ani Premium merupakan jenama yang diasaskan oleh Noraniza Idris yang memfokuskan kepada produk warisan makanan tradisi seperti muruku. Jenama ini diwujudkan sebagai usahanya untuk memartabatkan budaya melalui bidang keusahawanan.
Namun, menurut Kak Ani, insiden berkaitan kerosakan dan kehilangan parcel memberi impak besar kepada kepercayaan pelanggan, reputasi perniagaan serta kestabilan kewangan usahawan kecil.
Sehubungan itu, Kak Ani menyeru agar pihak syarikat penghantaran lebih bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh peniaga, terutamanya golongan usahawan mikro yang sangat bergantung kepada perkhidmatan logistik untuk menggerakkan perniagaan mereka.




