MyGameOn Bergabung Dengan SAYS Tech Lancar Kempen ‘Rileks Je, Takyah Toksik’, Tangani Isu Buli Siber & Kesihatan Mental Dalam Dunia Permainan Video

MyGameOn Bergabung Dengan SAYS Tech Lancar Kempen ‘Rileks Je, Takyah Toksik’, Tangani Isu Buli Siber & Kesihatan Mental Dalam Dunia Permainan Video

Dua jenama digital tempatan, MyGameOn dan SAYS Tech, bergabung tenaga menerusi pelancaran kempen “Rileks Je, Takyah Toksik”, sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada usaha menangani isu buli siber dan menjaga kesihatan mental dalam kalangan komuniti pemain video di Malaysia.

Menerusi pendekatan menyeluruh, kempen ini mengajak para pemain, pencipta kandungan dan peminat e-sukan untuk sama-sama membina ruang digital yang lebih selamat dan menyokong antara satu sama lain.

Antara inti utama kempen ini adalah penyediaan platform khas untuk orang ramai berkongsi pengalaman mereka berdepan situasi toksik dalam talian secara tanpa nama, sekali gus membuka ruang untuk mereka meluahkan perasaan tanpa takut kepada stigma atau persepsi negatif. Cerita-cerita ini boleh diakses melalui laman sesawang mygameon.my/takyahtoksik.

Selain itu, pelbagai kandungan eksklusif seperti artikel, video dan temu bual bersama pakar akan disiarkan sepanjang kempen ini berlangsung, bertujuan mendidik orang ramai tentang kesan buli siber serta cara memelihara kesihatan mental.

Kempen ini juga dirangka untuk memperkasakan komuniti permainan dengan ilmu, persediaan dan sokongan agar mereka bukan sahaja dapat membantu diri sendiri, malah mampu menyokong individu lain dalam situasi serupa.

“Dalam industri permainan video, buli siber sering dikaitkan dengan pemain profesional, streamer, dan juga golongan wanita. Menerusi kempen ini, suara mereka dapat diketengahkan dan kisah mereka boleh dijadikan teladan untuk membina komuniti gaming yang lebih inklusif dan positif,” ujar Hazril Nor, Editor MyGameOn.

Sementara itu, Ketua SAYS Tech, Sukhbir Cheema turut menekankan bahawa dunia permainan video seharusnya menjadi ruang untuk berseronok, bukannya menjadi sumber tekanan.

“Kesihatan mental sangat penting untuk kita, ramai orang mengetahui bahawa permainan video dapat mengurangkan stres. Melalui kempen ini, kita perlu kembali kepada isu asal bermain permainan video iaitu berseronok dan menjalin hubungan baru dengan orang lain,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, satu acara khas juga akan dianjurkan dalam masa terdekat bagi memberi ruang selamat kepada para pemain untuk berkumpul dan membina hubungan dalam suasana komuniti yang lebih sihat dan positif.

Maklumat lanjut mengenai acara tersebut akan diumumkan tidak lama lagi. Orang ramai disarankan untuk mengikuti perkembangan terkini di saluran rasmi MyGameOn dan SAYS Tech.

Melalui kempen ini, MyGameOn dan SAYS Tech menyeru seluruh komuniti permainan video untuk berhenti sejenak dan berfikir, memahami punca wujudnya budaya toksik dalam dunia permainan, serta menyedari bahawa semua orang berhak untuk bermain dalam suasana yang harmoni dan bebas daripada tekanan emosi.

Scroll to Top