Kuala Lumpur: Apabila YouTuber dan jurusolek sensasi dunia, James Charles, beri rating 3/10 untuk NIMS Crispy Choco Tub, ramai ingat pengasas NIMS akan ‘sentap’ dan makan hati.
Ternyata silap andaian itu. Hakikatnya, pengasas jenama berkenaan, Tengku Norhanim Tengku Othman atau Hanim, membalas ulasan ‘buruk’ itu dengan penuh kelas dan keyakinan.
“Tak semua tekak sama. Biasalah kalau ada yang tak suka. Tapi ramai rakyat Malaysia bagi rating 10/10 untuk NIMS. Kita sudah tembus pasaran 18 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS).
“Saya percaya kepada ‘Bad Marketing’, ‘Big Impact’. Jadi saya okey saja dan tak ambil hati dengan ulasan dia,” kata Hanim.
Walaupun ulasan itu cukup ‘pedas’, Hanim berkata, dia tetap bersyukur apabila produk miliknya mendapat publisiti percuma daripada pempengaruh bertaraf global itu.
Malah, Hanim turut merancang untuk menghantar satu set kombo khas untuk James dan ajak berkolaborasi dengannya.
“Kalau dia terkenal dengan gambaran bersifat ‘fruity’, kami pula penuh warna-warni! Mana tahu James boleh reka kombo ikut citarasa dia.
“Packaging pun biar dia boleh pilih dan tentukan. Mana tahu boleh wujud kolaborasi NIMS X James Charles,” katanya.
Menurutnya lagi bukan mudah untuk mempelawa atau minta selebriti mahupun individu terkenal mencuba produk terbabit.
Terdahulu, James memuat naik video ulasan pelbagai snek, makanan dan manisan termasuk produk NIMS Crispy Choco Tub di saluran YouTube miliknya baru-baru ini.
Video berjudul Mencuba Makanan Snek Viral dari Kedai TikTok mendapat lebih 22,000 tanda suka dengan tontonan melebihi 700,000.
“Saya sudah tunggu lama untuk merasai produk tular ini (NIMS Crispy Choco Tub). Pelik juga bagaimana bijirin ini masih rangup biarpun sudah dilimpahi coklat di dalam bekas.
“Selepas merasainya, saya nilai kualiti coklat tidak bagus dan kurang ‘kick’. Namun, bijirin rasa sedap dan masih rangup. Suapan pertama snek ini saya kira sedap. Bagaimanapun suapan seterusnya, jadi rasa pelik.
“Pelik juga kenapa produk ini boleh tular. Saya takkan mengesyorkan produk ini kepada orang lain. Jadi saya beri markah tiga daripada 10,” katanya.
Untuk rekod, NIMS pernah mendapat pengiktirafan hebat selain pernah diangkat sebagai Nona Best Crispy ChocoTub Award dalam Nona Superwoman Award 2022.
Serta menerima pelbagai anugerah antaranya The Best Brandlaureate, Top 500 Trusty Brand Award (Majlis Tindakan Pengguna), AWEN AWARD (Asean Women Enterpreneur Network), IKSNITA Award (Women Young Enterpreneur), Bumiputera Business Excellence Award (BBEA) serta The 100 Top Young CEO.
© New Straits Times Press (M) Bhd




