PPPR SPRM – KPT sasar mahasiswa sebagai ejen antirasuah

PPPR SPRM – KPT sasar mahasiswa sebagai ejen antirasuah

mhafis@mediprima.com.my

Putrajaya: Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan cadangan kerjasama strategik berkaitan kempen kesedaran pencegahan dan pendidikan antirasuah peringkat nasional kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Cadangan itu dalam usaha meluaskan pembabitan dalam kalangan ahli akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa.

Pengerusi PPPR SPRM, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata, KPT adalah kementerian yang dikenal pasti sebagai rakan strategik kepada kempen kesedaran pencegahan rasuah ini kerana kebolehcapaian kelompok sasaran yang luas, merangkumi institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

“Usaha yang ingin kita laksanakan ini sejujurnya memerlukan pembabitan KPT untuk dijayakan kerana generasi Z, Alpha dan Beta yang ketika ini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi bakal menerajui kepimpinan, ekonomi serta industri pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai sesi pembentangan cadangan kempen terbabit kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di pejabatnya, di sini hari ini.

Yasmin berkata, PPPR selaku entiti bebas yang akan menerajui usaha ini berhasrat supaya kempen yang bakal dilaksana ini turut diperluaskan aktivitinya dan dirasai kesannya hingga ke peringkat mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Pada dasarnya, pihak KPT menyambut baik cadangan berkenaan dan memberikan komitmen untuk melaksanakannya dalam modul latihan dan pembelajaran sedia ada.

Kempen ini mensasarkan kelompok pelajar berskala besar di institusi pengajian tinggi sebagai ejen yang mampu membawa perubahan kepada pencegahan rasuah melalui pembinaan nilai yang akan digerakkan melalui kempen ini.

PPPR adalah salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM yang dianggotai oleh wakil masyarakat, aktivis sosial, dewan perniagaan, pakar media dan ahli akademik.

Antara peranan utamanya ialah menasihati SPRM, bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Professor Dr Azlinda Azman; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail;ahli-ahli PPPR dan Ketua Unit Integriti KPT, Ahmad Humaizie Ramly.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top