mhafis@mediprima.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane, sedang memantau rapi situasi di Republik Demokratik Rakyat Lao (Lao PDR) susulan banjir besar yang berlaku akibat hujan lebat dari Monsun Barat Daya dan Taufan Wipha.
Wisma Putra berkata, menurut Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), bencana ini menjejaskan lebih daripada 58,000 orang daripada 34,000 keluarga merentasi 10 wilayah.
Menurutnya, sembilan kematian dan empat orang dilaporkan masih hilang sehingga kini.
“Pada masa ini tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terjejas oleh banjir ini.
“Namun begitu, semua rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan melalui Lao PDR dinasihatkan untuk berhati-hati, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, dan peka terhadap perkembangan cuaca serta nasihat rasmi perjalanan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, rakyat Malaysia yang berada di Lao PDR juga digalakkan untuk mendaftar dengan kedutaan dan kekal berhubung rapat bagi mendapatkan bantuan dan maklumat yang terkini.
“Untuk bantuan konsular, sila hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane, Nongbone Road, Ban Phonexay, P.O. Box 789 Vientiane, Lao PDR atau telefon: +856 21 414205 / +856 21 414201, telefon Bimbit (Kecemasan): +856 20 5553 1801 dan email mwvientiane@kln.gov.my.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan menyediakan maklumat terkini yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Lao PDR,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




