am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universiti Putra Malaysia (UPM) mengesahkan dokumen pendidikan yang dikemukakan beberapa individu untuk pelantikan dalam sebuah badan beruniform adalah palsu.
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat universiti itu dalam satu kenyataan berkata, pentadbiran universiti itu sedia membantu jika mana-mana pihak atau agensi mahu menyemak pengesahan status penganugerahan sijil akademik.
“Tiada sebarang penetapan prosedur operasi standard (SOP) untuk mana-mana pihak merujuk pihak UPM terlebih dahulu untuk saringan temuduga atau kenaikan pangkat.
“Pihak berkaitan boleh menghubungi Bahagian Urus Tadbir Akademik, Pejabat Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa UPM,” katanya.
Metro Ahad sebelum ini melaporkan segelintir individu dikesan memalsukan dokumen pendidikan untuk mendapat pangkat dalam sebuah unit sukarela badan beruniform di negara ini.
Selain itu, ada individu termasuk penggiat seni dan ahli perniagaan dikenakan bayaran tertentu untuk mendapat pangkat sejak lebih tiga tahun lalu.
Menurutnya, tindakan seperti itu adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan nama serta reputasi UPM.
“Pihak UPM berhak untuk mengambil tindakan aduan dan laporan kepada pihak berkuasa jika individu berkaitan tidak menghentikan perbuatan mereka,” katanya.
Kenyataan itu berkata, pihaknya turut menasihatkan mana-mana agensi atau pihak berkuasa mendapatkan pengesahan dari institusi pengajian yang berkaitan jika ragu-ragu dengan sijil akademik yang diterima daripada mana-mana individu.
Katanya, semakan sijil akademik IPT juga boleh dibuat dengan merujuk Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR) yang disediakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA).
“Mana-mana individu atau kelompok dinasihatkan tidak menyalahguna nama IPT sewenang-wenangnya. Menggunakan sijil akademik palsu adalah satu kesalahan undang-undang yang boleh dikenakan tindakan di bawah pertuduhan jenayah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd