Transformasi sektor ruminan

Transformasi sektor ruminan

Kuala Lumpur: Agrobank dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memeterai kerjasama strategik yang bertujuan memperkasa penternak ruminan dengan menyediakan kemudahan pembiayaan khusus serta sokongan geran padanan kerajaan sehingga 90 peratus.

Kerjasama ini dimeterai oleh Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik dan Penilaian Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron dan Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dengan disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan Agrobank, Datuk Yunos Abd Ghani.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, inisiatif ini bukan sekadar penyediaan pembiayaan, tetapi merupakan satu sistem sokongan menyeluruh kepada agropreneur.

“Dengan pengurangan beban modal permulaan, pembiayaan mudah akses dan sokongan teknikal yang berterusan, kami komited untuk mentransformasikan sektor ruminan negara menjadi industri yang moden, inklusif dan mampan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kerjasama ini merangkumi tiga program utama pembangunan industri ruminan peringkat

kebangsaan, iaitu Program Pengganda 30 bagi penternak lembu pedaging, Program Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara bagi penternak lembu tenusu dan Program Peningkatan Ruminan Kecil bagi penternak kambing dan bebiri.

“Di bawah inisiatif ini, Agrobank akan menyediakan kemudahan pembiayaan bersasar untuk perolehan ternakan, kelengkapan ladang dan pembangunan infrastruktur.

“DVS akan melaksanakan penyaluran bantuan geran secara imbuh balik dengan nisbah seperti 90:10, 80:20 dan 70:30 bergantung kepada program yang terlibat.

“DVS turut melaksanakan pemantauan lapangan, latihan teknikal dan khidmat nasihat bagi memastikan keberkesanan serta kelestarian pelaksanaan program,” katanya.

Menurutnya, kerjasama ini menyokong sepenuhnya aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia

Ke-13 (RMK13) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) di mana kedua-dua dasar negara ini memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh keterjaminan makanan, memodenkan keusahawanan tani secara inklusif, mengurangkan kebergantungan kepada daging dan tenusu import serta memperkasakan ekonomi berasaskan agro terutamanya di kawasan luar bandar.

“Agrobank menjangkakan inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada ratusan agropreneur di seluruh negara dalam tahun pertama pelaksanaannya, khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top