am@hmetro.com.my
Tumpat: Kesempitan hidup yang ditanggung lima beranak dari Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini menyebabkan dua daripada empat beradik terpaksa berhenti sekolah.
Nur Auni Asna Mohd Norhisham, 16, dan adiknya Mohammad Nor Hilman, 14, sudah setahun berhenti belajar kerana ibu mereka, Sapiah Dolah, 38, tidak dapat mampu menanggung perbelanjaan persekolahan.
Menurut Nur Auni, ibunya yang hanya bekerja di kedai sayur dengan pendapatan yang sangat kecil menyebabkan dua beradik itu tidak membawa wang saku ke sekolah.
“Saya mengambil keputusan berat untuk berhenti sekolah kerana terpaksa memikirkan keadaan kewangan keluarga memandangkan hanya ibu sahaja yang bekerja.
“Buat masa sekarang, hanya dua adik yang berumur 12 dan lapan tahun sahaja yang masih bersekolah dan nasib mereka pun belum tentu lagi sama ada mampu menamatkan persekolahan atau terkandas seperti kami berdua,” katanya ketika ditemui di rumah mereka, di sini.
Nur Auni berkata, dia dan Mohammad Nor Hilman masing-masing ditempatkan di kelas kedua paling pandai dan masih berminat untuk meneruskan persekolahan namun keadaan memaksa mereka untuk berhenti separuh jalan.
Menurutnya lagi, cita-citanya menjadi doktor manakala adiknya sebagai tentera mungkin akan terkubur buat selama-lamanya.
“Memang sedih kerana terpaksa melupakan cita-cita tapi itu pilihan terakhir kami dan buat masa sekarang, saya hanya bantu ibu jaga adik dan sesekali masih berhubung dengan rakan sekolah untuk bertanya khabar,” katanya.
Sementara itu, Sapiah berkata sejak suami menghilangkan diri beberapa tahun lalu, tanggungjawab menanggung keluarga terletak di bahunya pendapatan yang diperoleh di kedai menjual sayur adalah sekitar RM50 hingga RM55 sehari.
Katanya, dengan pendapatan yang tidak seberapa itulah dia membesarkan empat anak selain perlu membayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan.
“Memang rasa bersalah kerana dua anak terpaksa berhenti sekolah tapi apa pilihan yang saya ada? Makan seharian pun sudah ala kadar, apa lagi untuk membiayai persekolahan semua serentak, memang saya tak mampu,” katanya.
Mereka sekeluarga dikunjungi rombongan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diketuai pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang bertanya khabar dan berjanji untuk membantu menyambung semula persekolahan dua beradik terbabit.
Mereka yang ingin membantu boleh menyumbang di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301741100045714 milik Nur Auni Asna
© New Straits Times Press (M) Bhd