am@hmetro.com.my
Muar: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan jiran menggunakan pemutar skru kerana berang ditegur membakar sampah berdekatan rumahnya.
Tertuduh, Zulkarnain Ayob, 40, yang juga penganggur membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap lelaki berusia 28 tahun dengan mencucuk perut menggunakan pemutar skru di Jalan Dato Haji Hassan, di sini, jam 7 malam, 14 Julai lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara atau denda atau sebat ataupun mana-mana daripada dua hukuman itu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa memanggil tertuduh yang ketika itu sedang menunggang basikal untuk bertanyakan kenapa membakar sampah plastik di sebelah rumahnya.
Namun, tertuduh marah lalu mengambil pemutar skru dan mencucuk perut mangsa hingga luka. Sebelum itu berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan tertuduh dan kemuncaknya apabila OKU itu mengambil senjata terbabit.
Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada hari sama.
Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis mengesan tertuduh lalu menahannya di perhentian bas Maharani manakala mangsa menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) akibat kecederaan dialaminya.
Pemeriksaan mendapati terdapat lima kesan luka di bahagian perut dan dada mangsa akibat objek tajam.
Siasatan mendapati, tertuduh turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa kerana tidak puas hati dimarahi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh diwakili peguam Fatimah Zahrah Azmi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
© New Straits Times Press (M) Bhd