Dalam gelanggang politik dan pentadbiran marcapada ini, Kerajaan Madani di bawah teraju Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah tampil dengan ketegasan dan iltizam yang tuntas dalam memperkasa ekonomi bumiputera, yakni anak watan yang menjadi teras kepada jati diri negara.
Dengan penuh hemah dan makna, beliau menzahirkan bahawa peruntukan kepada bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Ke-Tigabelas (RMK13) adalah yang tertinggi pernah dicatatkan semenjak negara merdeka.
Ini suatu kenyataan yang membawa erti besar dalam lipatan sejarah pembangunan nasional.
Ujar beliau, tindakan ini bukanlah semata-mata gimik politik atau retorik yang mekar pada kata namun kering pada laksana, bahkan ia menjelmakan tekad kerajaan untuk menyusun semula keadilan ekonomi berlandaskan semangat kenegaraan yang tulen.
Rizab Melayu di bandar diangkat sebagai tumpuan utama…
Berlandaskan laporan yang diperoleh daripada akhbar arus perdana, Sinar Harian, YAB Perdana Menteri menyatakan secara tegas di Dewan Rakyat.
Perbelanjaan untuk bumiputera adalah antara yang tertinggi termasuk untuk pembangunan Rizab Melayu di bandar. Malaysia belum pernah menerima peruntukan sebesar ini sejak merdeka.
Perkara ini dizahirkan bukan dengan omong kosong, tetapi berpaut pada fakta dan hakikat yang nyata. Sesungguhnya, belum pernah mana-mana pentadbiran sebelum ini berani melangkah sejauh dan seteguh ini dalam membela martabat ekonomi kaum bumiputera secara menyeluruh serta mendalam.
PuTERA35: Citra baharu Transformasi Ekonomi Bumiputera…
Dalam rangka memperkukuh dasar yang direncana, Kerajaan Madani turut melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau PuTERA35, yang dirangka berteraskan falsafah 3P, iaitu penyertaan, pemilikan, dan penguasaandalam sektor-sektor strategik negara.
Langkah ini bukan sahaja mencerminkan wawasan jauh kerajaan terhadap kedudukan ekonomi anak bangsa, malah menyusun semula lanskap pemilikan ekonomi agar lebih adil dan saksama buat generasi bumiputera yang mendatang.
Dengan izin Tuhan Yang Maha Esa, pelan ini diharapkan dapat memugar semula kekuatan ekonomi bumiputera yang sekian lama tercicir dalam arus pembangunan pesat negara.
Menolak tohmahan bahawa kerajaan bersifat pilih kasih…
Dalam menjernihkan persepsi masyarakat yang kian dimanipulasi oleh lidah-lidah yang ghairah berpolitik, YAB Perdana Menteri turut menangkis dakwaan kononnya kerajaan hanya menumpu perhatian kepada kelompok tertentu seperti masyarakat Kampung Baru Cina.
RMK13 ini harus ditelaah oleh kita semua. Jika tidak, timbul dakwaan bahawa peruntukan hanya diberikan kepada Kampung Baru Cina tetapi tiada untuk bumiputera.- Ujar beliau, dengan penuh berhemat.
Hakikatnya, pendekatan kerajaan marcapada ini berlandaskan prinsip keterangkuman dan keseimbangan antara kaum. Masyarakat Tionghoa, India, Orang Asli, serta warga Sabah dan Sarawak tetap dirangkul dalam arus kebajikan negara.
Namun, memandangkan kelompok bumiputera masih mendominasi statistik kemiskinan, maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengangkat mereka ke darjat yang lebih mulia dari sudut sosioekonomi.
Tuntasnya, fahami dahulu dasar yang digubal, hayati hikmah di sebalik tindakan, dan berikan sokongan yang sewajarnya kepada usaha memperkasa umat bangsa sendiri.
Pssttt! Wahai sekalian pembaca budiman, ketahuilah bahawa usaha yang dilakar melalui RMK13 ini bukanlah semata untuk menjulang angka dan peratus, tetapi merupakan satu ikhtiar luhur demi membela hak bumiputera yang telah sekian lama terkebelakang dalam dunia ekonomi marcapada. Maka hendaklah kita memerhati dengan mata hati dan menilai dengan fikiran yang waras, agar tidak mudah termakan hasutan dan tohmahan yang bersifat emosi.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!