am@hmetro.com.my
Putrajaya: Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berikrar akan mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan melindungi institusi itu dengan seluruh jiwa dan raga.
Dalam ucapan sulungnya, Wan Ahmad Farid mengakui pengalaman lampaunya merangkumi ketiga-tiga cabang kerajaan, termasuk latar belakang politiknya, namun menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan komitmennya sebagai Ketua Hakim.
“Saya tidak dapat memadam sejarah saya, sama ada berkaitan politik atau sebaliknya tetapi apabila saya memikul amanah yang paling berat ini dan selagi saya menduduki kerusi ini, saya memberi janji tanpa syarat.
“Atas nama pencipta saya, saya akan mempertahankan dan melindungi kebebasan badan kehakiman dengan sepenuh jiwa raga,” katanya pada majlis meraikan pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Dalam pada itu Wan Ahmad Farid mengajak semua hakim, pegawai kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia, Persatuan Undang-undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak serta semua pihak berkepentingan untuk bersama membina sistem kehakiman yang bebas, berdaya tahan, cekap, berilmu dan mudah diakses.
“Sekarang marilah kita menoleh ke hadapan, membina masa depan badan kehakiman yang bebas, berdaya tahan, cekap, berilmu dan mudah diakses.c
“Marilah kita lakukan ini demi negara tercinta,” katanya.
Wan Ahmad Farid dilantik Ketua Hakim Negara ke-17 bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Wan Ahmad Farid yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari University of West London dan memperoleh Certificate in Legal Practice (Hons) daripada Universiti Malaya memulakan kerjaya guaman di Tetuan Adnan & Wee, Kuala Terengganu, dari 1987 hingga 2003.
Selain kerjaya perundangan, anak jati Kuala Terengganu itu juga aktif dalam bidang pentadbiran dan politik dengan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008 sebelum dilantik Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.
Antara 2011 hingga 2015, Wan Ahmad Farid kembali ke bidang guaman di Tetuan Wan Farid & Surin di Kuala Lumpur hingga dilantik Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu dari 2015 hingga 2019.
Beliau kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024 dan pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) serta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 3).
© New Straits Times Press (M) Bhd