Kecewa di WUG, Azeem sasar masa lebih baik di Terbuka India

Kecewa di WUG, Azeem sasar masa lebih baik di Terbuka India

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi bertekad bangkit menebus kekecewaan di Sukan Universiti Dunia (WUG) dengan kejayaan pada Kejohanan Terbuka India, bermula 10 Ogos ini.

Atlet berusia 21 tahun itu terlepas peluang untuk menghadiahkan pingat buat negara apabila menamatkan saingan di tempat keempat acara riben biru di WUG dengan catatan 10.35 saat (s).

Ia adalah pencapaian terbaiknya daripada tiga perlumbaan termasuk separuh akhir dan pusingan pertama, namun jauh daripada catatan terbaik musim ini iaitu 10.20s.

Pingat emas dimenangi pelari Afrika Selatan, Bayanda Walaza dengan catatan 10.16s; perak menjadi milik jaguh Thailand, Puripol Boonson (10.22s); manakala gangsa diraih atlet Jepun, Hiroki Yanagita (10.23s).

“Memang kecewa bila apa yang diharapkan di WUG tak menjadi kenyataan, tapi saya kena percaya pada proses dan mahu bangkit perbaiki pencapaian di kejohanan seterusnya selepas ini di Terbuka India.

“Di WUG saya menamatkan acara itu dengan catatan 10.35s dan ia catatan terbaik daripada tiga perlumbaan termasuk separuh akhir dan pusingan pertama. Namun, ia masih jauh daripada catatan terbaik saya musim ini.

“Melihat dari segi prestasi, musim ini saya lebih konsisten, malah catatan terbaik saya tahun ini ialah 10.20s, jauh lebih baik berbanding musim 2024,” katanya.

Menariknya, Azeem sudah 12 kali mencatat 10.2s, enam kali 10.1s serta tiga kali 10.0s termasuk dalam larian berangin (illegal race), sekali gus membuktikan kestabilan prestasinya di trek.

“Sudah dua bulan saya tidak berlari dalam acara 100m dan kembali beraksi di pentas besar berdepan pelari ternama seperti Walaza, Yanagita dan Puripol.

“Saya akan kembali berbincang dengan jurulatih untuk mempersiapkan diri bagi Terbuka India,” katanya.

Selain acara individu, Azeem turut meletakkan harapan tinggi terhadap kuartet 4x100m negara menjelang Sukan SEA di Thailand, hujung tahun ini.

“Kita mempunyai ramai pelari berbakat termasuk pelari muda, Danish Iftikhar, yang mencatat 10.3s.

“Tidak mustahil untuk kita memecahkan halangan 39s, malah saya percaya kita mampu mencatat 38.6s atau 38.7s,” katanya.

Mengulas penyertaan sulungnya di WUG, Azeem menyifatkan ia sebagai permulaan yang baik dan berhasrat melayakkan diri ke edisi seterusnya di Korea Selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top