DANAU Lumayan Sdn Bhd membangunkan Residensi Aman Lumayan yang menawarkan 3,438 unit kediaman mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.01 bilion di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Projek berkenaan dibangunkan dalam tiga fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A dan Fasa 2B, dengan keseluruhan pembinaan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Pengarah Urusannya, Shahril Reza Shaheen berkata, ia sekaligus membantu meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah di Lembah Klang.

Shahril Reza Shaheen menjelaskan Residensi Aman Lumayan direka untuk kehidupan bandar yang praktikal, kediaman ini menawarkan lebih ruang dan ciri berbanding kelaziman kediaman segmen mampu milik.
“Projek dimulakan dengan Fasa 2B, melibatkan Residensi Wilayah setinggi 55 tingkat dengan 26 unit di setiap aras. Keistimewaan projek ini ialah reka bentuk bangunan berbentuk ‘Y’ yang memastikan setiap pemilik menikmati pemandangan tersendiri tanpa berdepan dengan unit lain,” katanya.
Majlis pecah tanah projek berkenaan yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Berharga RM300,000, setiap unit menawarkan ruang seluas 900 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan sebuah anjung peribadi untuk pengudaraan dan pencahayaan yang lebih baik, ciri utama dalam memastikan kehidupan bandar yang lebih selesa dan bermanfaat.
Direka untuk kehidupan bandar yang praktikal, kediaman ini menawarkan lebih ruang dan ciri berbanding kelaziman kediaman segmen mampu milik, selain disokong dengan kemudahan yang menambah keselesaan, kesenangan dan kehidupan bermasyarakat.
Projek tersebut berorientasikan tiga blok simetri dengan reka bentuk yang dicipta untuk mempertingkatkan pengudaraan, pencahayaan semula jadi dan ruang awam, sementara seni bina muka bangunan melangkaui kebiasaan segmen mampu milik menerusi penggunaan garis ringkas, corak dan variasi warna yang menghasilkan suasana lebih bertenaga dan mesra.
Projek ini juga mengandungi dek podium di setiap blok dengan kemudahan gaya kondominium termasuklah kolam renang dan randuk, gimnasium, dewan serba guna, taman permainan kanak-kanak, taska, bilik bacaan, kawasan BBQ, surau, kedai runcit dan dobi.
Kemudahan-kemudahan ini direka untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan penduduk termasuklah keluarga muda, golongan pekerja dan pesara.
Untuk melengkapi ekosistem komuniti yang bertenaga, pembangunan ini didatangkan bersama ruang penjaja yang menawarkan infrastruktur penting seperti sambungan elektrik dan bekalan air, memberi peluang kepada perniagaan kecil dan usahawan mikro dari komuniti setempat untuk berkembang, seterusnya mempromosikan pemerkasaan ekonomi rakyat.
Selain itu, sewa yang dikumpul akan disalurkan kepada penyelenggaraan bangunan, dan menyumbang ke arah kehidupan yang mampan dan berteraskan masyarakat, sekali gus mencerminkan nilai madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan dan Daya Cipta.
Shahril Reza berkata, sejak awal lagi, fokus syarikat itu ialah memastikan kediaman ini bukan sahaja mampu dibeli tapi juga praktikal dan selesa didiami, dengan reka bentuk luas dan ciri mampan
“Dan yang lebih utama, sebuah ekosistem yang membantu menjadikan kemudahan gaya kondominium mampu diselenggara sambil menyokong keperluan harian, gaya hidup urban dan nilai kemasyarakatan yang kuat,” katanya.
Mengulas teguran Perdana Menteri yang mahu pihak pemaju meneliti semula laporan kemudahan asas seperti sekolah, Shahril Reza berkata, pihaknya bersedia berbincang dengan kerajaan.
“Kami menyambut baik saranan itu dan akan berjumpa Perdana Menteri Isnin depan untuk membincangkan keperluan tersebut,” katanya.
Pada majlis itu, kontraktor yang membangunkan projek tersebut, Pesona Metro Holdings Berhad turut menandatangani pembiayaan bernilai RM205 juta dengan Maybank Islamic Berhad.
Pengerusi Pesona Metro, Wie Hock Kiong berkata, keutamaan mereka ialah membuat serahan dengan berintegriti dan disiplin.
“Pembiayaan kewangan daripada Maybank merupakan tanda keyakinan mereka terhadap potensi projek, memberi kami peluang untuk melangkah ke hadapan dengan kesungguhan untuk menyerahkan projek pembangunan yang direka dengan baik dan mampan serta memenuhi jangkaan kualiti dan menyokong keperluan jangka panjang komuniti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global Maybank, Datuk John Chong berkata, akses kepada pemilikan rumah mampu milik membuka peluang kepada individu untuk memiliki aset dan mengumpul harta, sekali gus mengukuhkan komuniti.
“Pembiayaan oleh Maybank ini akan menyokong pembangunan projek secara menyeluruh, seterusnya mengukuhkan komitmen kami untuk meningkatkan taraf hidup dan menyokong aspirasi Malaysia Madani ke arah ekonomi yang lebih terangkum dan mampan,” katanya.
Menghadap Taman Tasik Permaisuri, residensi ini menawarkan persekitaran indah dan damai dalam suasana bandar, sambil menikmati akses dan sambungan yang baik.
Tapak projek ini bersambung ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Hubungan Timur-Barat dan MRR2, begitu juga jalan utama seperti Jalan Loke Yew, memberikan laluan mudah ke KLCC, Bangsar, Cheras dan Petaling Jaya.
Ia juga mendapat khidmat stesen KTM dan LRT Salak Selatan, dan bakal memanfaatkan Laluan Lingkaran MRT3 yang bakal siap, selain stesen Bandar Sri Permaisuri yang berada dalam perancangan.
Projek pembangunan ini juga berhampiran dengan kemudahan awam utama seperti Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan Stadium Cheras, menambah lagi kesenangan untuk penghuni.