Shaheizy Sam Nekad Tak Mahu Lakon Babak Mesra Lagi – “Kalau Boleh Undur Masa, Saya Tak Akan Buat”

Shaheizy Sam Nekad Tak Mahu Lakon Babak Mesra Lagi – “Kalau Boleh Undur Masa, Saya Tak Akan Buat”

Pelakon versatil, Shaheizy Sam mengambil keputusan muktamad untuk tidak lagi melakonkan adegan mesra atau bersentuhan dalam mana-mana karya lakonannya selepas ini.

Menurut Sam atau nama lengkapnya, Shaheizy Sam Abdul Samad, 43, keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hadir selepas menyedari elemen fizikal bukan syarat mutlak untuk menghidupkan watak atau menyentuh emosi penonton.

“Kalau boleh undur masa, saya memang takkan buat. Dulu saya anggap itu sebahagian daripada kerja, tapi sekarang saya fikir dengan cara berbeza,” katanya.

Katanya, filem Indera yang menjalani penggambaran kira-kira empat tahun lalu adalah naskhah terakhir yang menyaksikan dia melakonkan babak seumpama itu.

“Itulah filem terakhir saya dengan adegan begitu. Selepas ini, saya akan pastikan tidak lagi terlibat,” ujarnya ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem Indera di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lebih lanjut, Sam mengakui tidak lagi selesa dengan adegan mesra walaupun sekadar tuntutan skrip, namun begitu proses kematangan dalam hidup dan kerjaya menjadikan dia kini lebih peka terhadap batas agama dan sensitiviti penonton.

Meskipun babak tersebut dilakonkan tanpa sebarang niat peribadi, namun Sam mengakui perkara tersebut masih boleh mengundang salah faham dan fitnah, terutama melibatkan pelakon gandingan, Azira Shafinaz dalam filem Indera itu.

“Dulu saya fikir ia hanya kerja, tapi sekarang saya lebih pentingkan hukum hakam. Takkan sampai perlu langgar batas semata-mata kerana kerja.

“Saya sendiri pun sebenarnya tak selesa. Adegan itu dirakam empat tahun lalu, dan kalau diminta buat sekarang, saya akan tolak. Ia semua datang daripada kematangan berfikir. Lelaki lambat matang, kan?” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Sam turut menjelaskan isterinya, pelakon Syatilla Melvin tidak meletakkan sebarang syarat, namun sebagai suami dia perlu lebih sensitif terhadap perasaan pasangan.

“Dia tak pernah letak apa-apa syarat. Tapi saya sendiri kena tahu batas. Saya tak perlukan dia cakap apa-apa pun untuk saya faham apa yang dia mungkin rasa.

“Sejujurnya, kalau boleh, saya tak nak pun dia tengok filem ni. Tapi saya tahu lambat-laun, filem ni tetap akan ditayangkan di pelbagai platform,” katanya.

Filem Indera membawa kisah menyayat hati tentang Joe (lakonan Sam), seorang bapa tunggal yang kehilangan isterinya (lakonan Azira Shafinaz) dalam tragedi menyedihkan.

Joe kemudian membesarkan anak perempuannya yang bisu dan pekak sendirian. Dalam usahanya menebus rasa bersalah dan membina kehidupan baharu, Joe menerima tawaran bekerja sebagai tukang kebun di sebuah rumah terpencil milik wanita misteri berketurunan Jawa.

Turut membintangi filem ini ialah Samara Kenzo, Ruminah Sidek, dan Adlin Aman Ramlie.

Indera mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok.

Scroll to Top