“Sangat Tak Beretika” – Hawa Rizwana Kesal Video Aktiviti Kecergasan Disalahguna

“Sangat Tak Beretika” – Hawa Rizwana Kesal Video Aktiviti Kecergasan Disalahguna

Personaliti televisyen, Hawa Rizwana, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan individu yang menyunting dan menyebarkan video dirinya ketika menyertai Redline Fitness Games baru-baru ini.

Menurut Hawa, video berkenaan bukan sahaja dirakam tanpa pengetahuannya, malah suntingan yang dilakukan juga boleh menjatuhkan maruah sebagai seorang wanita.

“Baru-baru ini saya sertai satu aktiviti sukan semata-mata nak cuba pengalaman baru.

“Sebelum ni saya cuma berlari biasa-biasa je, tapi kali ini saya cabar diri sertai aktiviti yang perlukan kekuatan fizikal.

“Tapi bila dapat tahu video saya disunting dan dimuat naik sampai menjatuhkan maruah dan persepsi orang terhadap saya berubah, saya rasa itu sangat tak beretika,” katanya.

Walaupun enggan mengambil tindakan undang-undang buat masa ini, Hawa menegaskan beliau tidak teragak-agak untuk bertindak sekiranya perkara itu melampaui batas.

“Saya sendiri tak tengok video tu, tapi ada yang maklumkan pada saya. Saya tak kisah pun kalau ada yang nak post video saya, tapi biarlah dengan rasa hormat.

“Setiap perkara ada hadnya. Kalau dah keterlaluan, saya akan ambil tindakan. Tapi setakat ni saya anggap ia sebagai gurauan, jadi saya tak ambil sebarang tindakan.”

Scroll to Top