Inspirasi budaya Bajau Laut

Inspirasi budaya Bajau Laut

hafizithnin@mediaprima.com.my

KREATIVITi pereka fesyen muda berusia 23 tahun ini dalam mengolah inspirasi masyarakat Bajau Laut di Semporna, Sabah sememangnya amat mengagumkan kerana ia mampu menghasilkan sebuah koleksi kapsul yang elegen.

Muhammad Afiq Rosdee berkata, Bajau Laut terkenal sebagai nomad laut, yang hidup sangat dekat dengan alam sekitar terutamanya laut. Saya meneliti elemen seperti rumah perahu (lepa), tekstur anyaman tradisional, serta suasana perairan yang tenang tetapi luas.

Katanya, koleksi itu juga menekankan idea Prism dan Horizon iaitu bagaimana kita melihat identiti diri (prism) dan bagaimana kita menghargai pandangan menyeluruh budaya Bajau Laut (horizon).

“Inspirasi ini diterjemahkan ke dalam rekaan yang menggabungkan unsur tradisional dengan pendekatan kontemporari. Selain hanya berfungsi sebagai pakaian, koleksi ini dibangunkan berkonsepkan ‘wearable art’ iaitu menjadikan setiap helaian sebagai karya seni bergerak dengan menceritakan kisah budaya Bajau Laut.

“Setiap potongan, tekstur dan perincian bukan sekadar hiasan, tetapi ada maksud yang menghubungkan pemakai dengan sejarah dan keindahan komuniti ini,” katanya.

Tambahnya, keseluruhan proses bermula daripada kajian awal, lakaran, pemilihan fabrik, pembangunan prototaip hingga siap koleksi yang mengambil masa kira-kira 28 minggu.

Ia termasuk tempoh eksperimen dengan teknik anyaman, pemilihan motif dan penyesuaian rekaan supaya sesuai dipakai secara praktikal tetapi tetap bercerita berkenaan budaya Bajau Laut.

“Pemilihan warna banyak dipengaruhi palet semula jadi persekitaran Bajau Laut seperti pasir keemasan dan putih kapas awan di laut. Warna-warna ini bukan sahaja mencipta suasana yang lembut dan tenang, tetapi juga melambangkan hubungan rapat komuniti ini dengan laut.

“Dari segi tekstil, saya memilih dua kontradiktif jenis fabrik iaitu ringan seperti linen, kain kasar seperti ‘jute’ dan ‘hersian’ dan beberapa tekstur tenunan untuk memberi rasa keaslian serta keselesaan. Saya juga bereksperimen dengan teknik permukaan seperti anyaman tangan yang diinspirasikan daripada seni kraft Bajau Laut yang sering kita lihat di rumah Bajau Laut,” katanya.

Jelasnya, koleksi itu disasarkan kepada golongan muda hingga dewasa dalam lingkungan usia 20 hingga 35 tahun yang menghargai fesyen sebagai medium ekspresi budaya.

“Sasaran utama ialah mereka yang cenderung pada gaya avant-garde moden tetapi tetap menghormati nilai tradisional dan berminat kepada busana dengan naratif budaya yang kuat.

“Cabaran utama menyiapkan koleksi kapsul ini adalah bagaimana menyampaikan cerita Bajau Laut dalam bentuk rekaan yang relevan dan kontemporari tanpa hilang keaslian. Selain itu, proses eksperimen dengan teknik anyaman dan struktur pakaian mengambil masa kerana memerlukan ketelitian supaya hasilnya bukan hanya cantik tetapi juga bermakna.

“Menggabungkan elemen tradisi dan moden dalam bentuk yang seimbang juga menjadi cabaran kerana setiap potongan dan kemasan perlu ada fungsi serta estetika,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top