2 lelaki ada rekod lampau ditahan miliki pistol tiruan

2 lelaki ada rekod lampau ditahan miliki pistol tiruan

am@hmetro.com.my

Kluang: Dua lelaki yang memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah ditahan selepas polis menemukan senjata menyerupai pistol di Kahang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, tangkapan ke atas kedua-dua lelaki berusia 22 dan 32 tahun dilakukan ketika anggota Balai Polis Kahang menjalankan rondaan cegah jenayah.

Beliau berkata, ketika rondaan 2.30 petang itu, anggota polis terserempak kereta dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan lalu menahannya.

“Pemeriksaan menemukan senjata menyerupai senjata dan semakan polis mendapati suspek utama memiliki empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang lagi, satu rekod dadah.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif methampethamine,” katanya dalam kenyataan.

Bahrin berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top