Uyaina Arshad hamil anak ketiga

Uyaina Arshad hamil anak ketiga

Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon Uyaina Arshad, 33, berkongsi berita gembira memaklumkan dia hamil anak ketiga dan menyifatkan ia rezeki yang tidak diduga.

Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata memang tidak merancang untuk menimang cahaya mata lagi dalam masa terdekat namun bersyukur dengan rezeki itu.

“Oh ya. Saya kini hamil tiga bulan anak ketiga. Kejutan! Dan yang ini memang bukan pengumuman kehamilan yang biasa-biasa. Ini semua pemberian daripada Tuhan, kami tidak rancang.

“Kami terima dengan hati yang terbuka. Kalau ikut perancangan, ini adalah yang terakhir, Insya Allah,” kongsinya.

Berita baik itu ternyata mengejutkan ramai termasuk rakan selebriti. Ruangan komennya turut dibanjiri dengan ucapan tahniah dan doa daripada pengikutnya.

Uyaina berkahwin dengan pelakon Raja Shahiran pada 21 Disember 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan, 3, dan Raja Urayyan, 1.

Baru-baru ini, Uyaina juga mengakhiri perjalanannya selama sembilan tahun sebagai pengacara program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI).

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pihak produksi kerana mempercayai bakatnya mengemudi WHI hampir sedekad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top