London: Masih ingat babak ikonik yang mana tangan Luke Skywalker dipotong oleh Darth Vader? Kini, pedang cahaya (lightsaber) yang digunakan dalam adegan filem klasik Star Wars: The Empire Strikes Back itu bakal menjadi milik individu bertuah.
‘Prop’ legenda itu dipamerkan di sini semalam sebagai sebahagian daripada acara pratonton sebelum ia diterbangkan ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk dilelong pada September depan.
Bukan calang-calang nilainya, ‘prop’ itu dijangka mampu mencecah bidaan sehingga AS$3 juta (kira-kira RM12.7 juta).
Ketua pegawai operasi rumah lelongan Propstore, Brandon Alinger, menyifatkan barangan itu sebagai satu cebisan sejarah perfileman yang amat menakjubkan dan signifikan.
“Adakah penjahat lain yang begitu signifikan dan diingati seperti Darth Vader? Saya rasa tidak dan ini adalah senjatanya,” katanya ketika ditemui AFP.
Lebih menarik, penemuan prop itu dianggap satu keajaiban kerana ia kembali muncul selepas 40 tahun berada dalam simpanan seorang individu yang tidak didedahkan identitinya.
Menurut pengasas Propstore, Stephen Lane, pemiliknya menghubungi mereka selepas membuat carian di Google dengan kata kunci ‘jual prop filem Star Wars’, satu pendedahan yang sangat mengejutkan pihaknya.
“Tiada siapa tahu bahawa benda ini masih wujud. Ia adalah satu penemuan yang benar-benar baharu yang pastinya amat mengujakan bagi pengumpul koleksi Star Wars,” jelas Lane.
Bagi mengesahkan ketulenannya, pakar memadankan setiap kesan lekuk dan calar pada ‘prop’ itu dengan imej yang dirakam dalam filem, sekali gus membuktikan ia adalah barangan asli yang digunakan di set penggambaran.
Di sebalik nilainya yang mencecah jutaan ringgit, barangan itu sebenarnya adalah bekas komponen lampu kilat kamera lama yang diubah suai dengan beberapa alat ganti termasuk gelembung dari pad kalkulator.
Selain pedang cahaya itu, acara lelongan yang akan berlangsung dari 4 hingga 6 September itu turut menawarkan barangan ikonik lain seperti cemeti, tali pinggang dan sarung pistol yang digunakan oleh Harrison Ford dalam filem Indiana Jones and the Last Crusade pada 1989 dan alat pemadam memori (neuralyzer) dari filem Men In Black (1997).
© New Straits Times Press (M) Bhd




