London: Chelsea sudah memulakan perbincangan dalam usaha mendapatkan Alejandro Garnacho, menurut laporan.
Pemain sayap Argentina berusia 21 tahun itu terus dikaitkan dengan perpindahan musim panas ke Stamford Bridge.
Kini, talkSPORT melaporkan bahawa rundingan awal sedang dijalankan untuk menyelesaikan perjanjian itu dengan Manchester United dikatakan mahukan sekurang-kurangnya £40 juta (RM227.1 juta).
Namun, Chelsea berharap dapat menangguhkan penetapan harga akhir sehingga perpindahan Benjamin Sesko diselesaikan.
Ini kerana laporan itu menambah bahawa Chelsea percaya United mungkin bersedia untuk menurunkan harga permintaan mereka sebaik sahaja perpindahan Sesko disahkan, memandangkan mereka perlu menjual pemain.
Difahamkan bahawa Sesko memilih United berbanding Newcastle walaupun kedua-dua kelab berusaha mendapatkan penyerang Slovenia itu.
The Red Devils telah mengurangkan harga permintaan bagi Garnacho kerana dia adalah sebahagian daripada kumpulan pemain tidak diingini, bersama-sama Jadon Sancho, Antony dan Tyrell Malacia, yang ditinggalkan dari jelajah pramusim ke Amerika Syarikat (AS).
Garnacho yang memakai jersi Marcus Rashford awal musim panas ini, tidak lagi menjadi pemain pilihan selepas ketibaan Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo.
Pengurusnya United, Ruben Amorim sebelum ini pernah mengesahkan bahawa pemain antarabangsa dengan lapan kaps itu tiada masa depan di Old Trafford.
“Garnacho adalah pemain muda yang benar-benar berbakat tetapi kadang-kadang perkara tidak berjalan seperti yang diharapkan.
“Anda tidak boleh menjelaskan secara khusus apakah sebabnya. Tetapi saya rasa Garnacho mahukan sesuatu yang berbeza dengan kepimpinan berbeza.
“Dan saya faham perkara itu. Ia bukan satu masalah. Kadang-kadang anda serasi dengan seseorang, tetapi ada masa lain, anda mahukan cabaran baru,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd