'Kami hilang rakan sangat baik' – Rakan Koperal Mohd Hafizul

'Kami hilang rakan sangat baik' – Rakan Koperal Mohd Hafizul

am@hmetro.com.my

Alor Setar: “Kami kehilangan rakan yang sangat baik, ” kata kenalan arwah Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, yang meninggal dunia selepas dirempuh penjenayah di Taman Golf, di sini hari ini.

Rakan arwah yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 28, berkata, arwah seorang yang periang dan rajin ketika bekerja.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu tiga hari lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Dia meninggal dunia ketika menjalankan tugas, semoga rohnya tenang di sana,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, bapa mentua arwah, Mohd Yusof Murad, 67, berkata, kehilangan menantunya itu sangat dirasai apatah lagi arwah seorang yang baik dan rapat dengannya.

“Tetapi, Allah lebih sayangkannya. Arwah mempunyai tiga anak yang masih kecil berusia antara empat hingga 11 tahun serta isteri, Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kali terakhir dia bertemu dengan menantunya itu kira-kira empat hari lalu ketika arwah menghantar anak bongsunya ke rumahnya di Kubang Rotan, Kuala Kedah.

Jenazah Mohd Hafizul Izham dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menjalani bedah siasat jam 8 malam tadi.

Jenazahnya akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Pak Kancil, Permaisuri di Setiu, Terengganu untuk dikebumikan.

Media sebelum ini melaporkan seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah ketika menjalankan tugas berhampiran Taman Golf di sini, selepas cuba menghalang suspek kes pecah rumah melarikan diri.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top