Sindiket guna lori bonded seludup rokok tumpas, rampasan bernilai RM10.3 juta

Sindiket guna lori bonded seludup rokok tumpas, rampasan bernilai RM10.3 juta

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan rokok dikesan menggunakan lori bonded dan bergerak pada waktu petang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah selepas mengesan tiga lelaki ketika serbuan di sekitar Shah Alam semalam.

Serbuan pada 8.15 malam susulan risikan dilakukan dalam Op Taring Alpha 1.

Komander Briged Tengah PGA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, ketiga-tiga suspek yang dua daripadanya warga asing ditahan berusia antara 40 hingga 42 tahun.

Katanya, sindiket dikesan aktif menjalankan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai di kawasan Selangor dan menggunakan lori bonded sebagai helah untuk mengangkut barangan seludup.

“Hasil serbuan, PGA merampas sejumlah besar rokok tidak bercukai pelbagai jenama, sebuah lori jenis bonded serta beberapa telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu yang keseluruhannya dianggar bernilai RM10.3 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sindiket itu aktif pada waktu petang, dipercayai menjadikan lokasi sekitar Shah Alam sebagai tempat simpanan rokok seludup sebelum diedarkan ke pasaran.

“Semua suspek disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya yang meminta orang ramai terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dan menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top