Menjaga keamanan negara daripada ancaman musuh adalah salah satu tuntutan utama dalam ajaran Islam yang suci.
Islam sebagai agama rahmat untuk seluruh alam tidak hanya menekankan soal ibadah dan akhlak, bahkan turut menekankan aspek pertahanan dan keselamatan negara daripada sebarang bentuk ancaman musuh yang boleh menggugat kestabilan umat dan menjejaskan martabat agama.
Tanggungjawab mempertahankan negara bukan sekadar suatu tugas pentadbiran atau ketenteraan, bahkan ia adalah ibadah besar yang dijanjikan ganjaran tinggi di sisi Allah SWT apabila dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan semangat jihad yang benar.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bersedialah kamu untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu.” (Surah al-Anfal, 60)
Ayat ini menunjukkan bahawa persiapan pertahanan adalah kewajipan asasi dalam Islam. Umat Islam diperintahkan supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dengan pelbagai bentuk kekuatan sama ada dari sudut ketenteraan, ekonomi, teknologi, mahupun perpaduan dalam kalangan rakyat.
Kewajipan ini tidak bersifat sunat atau pilihan, tetapi ia adalah perintah yang wajib dilaksanakan demi menjamin keamanan dan kelangsungan kehidupan umat.
Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang dan tidak juga terdetik di dalam hatinya keinginan untuk berperang, maka dia mati dalam satu cabang nifaq.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menggambarkan betapa penting semangat mempertahankan agama dan tanah air sehingga sesiapa yang tiada langsung keinginan untuk berjuang demi mempertahankan Islam dan umatnya dikira sebagai memiliki unsur kemunafikan dalam hatinya.
Ini menunjukkan bahawa semangat patriotik dan keprihatinan terhadap keselamatan negara bukan sekadar tanggungjawab lahiriah, tetapi juga mencerminkan kesempurnaan iman seseorang Muslim.
Islam tidak mengajar umatnya menjadi lemah dan pasif apabila berdepan ancaman luar. Ulama muktabar seperti Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumiddin menyatakan bahawa menjaga agama, nyawa, harta, akal dan keturunan adalah maqasid syariah yang mesti dipertahankan.
Justeru, keamanan negara yang menjadi payung kepada terlaksananya maqasid ini perlu dijaga dan dipertahankan walaupun dengan mengorbankan nyawa. Sekiranya negara hancur dan sistem keselamatan runtuh, maka kelima-lima maqasid ini akan turut terancam dan gagal dilaksanakan.
Oleh itu, pembabitan dalam usaha mempertahankan negara adalah kewajipan kolektif (fardu kifayah) yang menjadi fardu ain apabila negara berada dalam situasi darurat atau diserang musuh.
Dalam konteks Malaysia sebagai negara berdaulat, semangat patriotisme yang tinggi wajib dipupuk dalam diri setiap warganegara, khususnya umat Islam. Islam tidak pernah memisahkan cinta kepada tanah air daripada keimanan.
Ulama seperti Imam al-Nawawi dan al-Mawardi turut menjelaskan bahawa taat kepada pemerintah yang adil dan berusaha menjaga kestabilan negara adalah tuntutan agama selama tidak bertentangan dengan syarak.
Justeru, setiap warganegara Muslim perlu menanam dalam diri nilai kesetiaan kepada negara, semangat mempertahankan kedaulatan dan bekerjasama dalam membina masyarakat yang aman dan makmur. Ini termasuk menyumbang dalam bentuk idea, tenaga, ekonomi dan pertahanan fizikal sekiranya diperlukan.
Umat Islam juga perlu mendidik generasi muda dengan nilai-nilai cintakan negara melalui pendidikan agama yang benar, memahami sejarah perjuangan bangsa serta membina jati diri yang teguh terhadap prinsip Islam dan kenegaraan. Tanpa jati diri ini, generasi muda akan mudah terpengaruh dengan ideologi asing, menjadi alat kepada musuh dan sanggup menggadaikan prinsip demi kepentingan peribadi atau ideologi yang menyesatkan.
Sejarah Islam sendiri membuktikan betapa Rasulullah SAW amat mementingkan pembinaan negara dan pertahanan tanah air. Ketika hijrah ke Madinah, Baginda bukan hanya membina masjid dan sistem sosial, bahkan mewujudkan perjanjian Piagam Madinah yang mengatur keselamatan bersama antara pelbagai kaum.
Baginda juga membentuk angkatan tentera, melatih sahabat dalam peperangan dan membina kubu pertahanan. Ini menunjukkan bahawa menjaga keselamatan dan kedaulatan bukan urusan pinggiran, tetapi adalah agenda utama Rasulullah dalam mendirikan negara Islam yang stabil dan sejahtera.
Selain itu, semangat patriotik dalam Islam bukan bersifat sempit atau bersandar pada perkauman. Ia adalah cinta kepada tanah air yang menjadi tempat berlindung, tempat menunaikan kewajipan agama, tempat membesarkan anak-anak dan tempat mengembangkan syiar Islam.
Selama tanah air itu memberi ruang untuk hidup sebagai Muslim yang taat dan bebas beribadah, maka menjadi kewajipan bagi setiap rakyat untuk menjaganya daripada sebarang bentuk ancaman dalam dan luar.
Semangat ini perlu disemai dalam setiap lapisan masyarakat – sama ada tentera, polis, petugas awam, pendidik, pelajar mahupun petani dan nelayan – semuanya mempunyai peranan dalam menjaga kestabilan negara.
Menjaga keamanan negara dan mempertahankan tanah air daripada musuh adalah tuntutan yang jelas dalam Islam. Ia bukan semata-mata soal ketenteraan atau politik, tetapi merupakan ibadah yang sangat besar nilainya di sisi Allah SWT.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd