Lelaki India buka restoran tomyam Malaysia

Lelaki India buka restoran tomyam Malaysia

syazrina@hmetro.com.my

Tamil Nadu, India: Pengalaman bekerja lebih 10 tahun di Malaysia mendorong seorang lelaki warga India membuka restoran makanan bercirikan masakan Malaysia di negeri yang terletak di Selatan India ini.

Restoran dinamakan Tomyam Malaysia itu mula beroperasi pada 1 Julai lalu di daerah Ramanathapuram dan mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat meskipun baru dibuka.

Pengusahanya, Syed Ibrahim, 37, atau lebih dikenali sebagai Kani Boy berkata, idea membuka restoran berkenaan tercetus selepas dia dan rakan kongsinya, Mohamed Sikkandar Kani pulang dari Malaysia, tahun lalu.

Menurutnya, dia memulakan kerjaya di Malaysia sebagai pencuci pinggan di Johor Bahru pada 2008 sebelum menjadi tukang masak di Pulau Pinang.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia mempelajari cara penyediaan pelbagai makanan tempatan di Malaysia terutama masakan Melayu dan menu popular seperti nasi lemak, sate dan tomyam.

“Saya belajar memasak semua dari Malaysia. Sejujurnya, restoran saya wujud sebab saya amat cintakan makanan Malaysia.

“Sebab itu saya bawa (masakan Malaysia) ke India dan tak sangka semua orang di sini amat sukakannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, restoran berkonsepkan jalanan itu mengekalkan 100 peratus rasa asli Malaysia dengan menggunakan bahan rempah ratus diimport dari Malaysia.

Katanya, antara menu popular dan sering menjadi pilihan pelanggan ialah nasi lemak, tomyam, sate, nasi goreng kampung dan ayam goreng berempah.

“Sejak hari pertama beroperasi, restoran itu dikunjungi ramai termasuk pelanggan dari daerah lain seperti Kerala yang sanggup datang walaupun jarak lebih 600 kilometer.

“Sate paling laku, kadang-kadang sampai 2,000 cucuk sehari. Ada pelanggan beli sampai 300 cucuk. Kadang-kadang kami terpaksa tolak permintaan kerana tak mampu buat,” katanya.

Mengulas berkenaan minuman yang dijual di restorannya, katanya, dia merancang untuk memperkenalkan dan membawa konsep air ‘ikat tepi’ yang amat popular di Malaysia tidak lama lagi.

“Idea itu tercetus selepas seorang anggota polis tempatan datang ke kedai dan memuji konsep berkenaan yang memudahkan pelanggan membawa minuman ketika bekerja atau dalam perjalanan,” katanya.

Berkenaan kebersihan, Kani Boy berkata, walaupun beroperasi di tepi jalan, dia tetap menitikberatkan kualiti dan kebersihan makanan mengikut standard Malaysia meskipun keadaan jalanan di India agak mencabar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top