Penemuan artifak purba bukti manusia mendiami Sulawesi lebih sejuta tahun

Penemuan artifak purba bukti manusia mendiami Sulawesi lebih sejuta tahun
Penemuan artifak di Tapak Calio, Kabupaten Soppeng mengesahkan Pulau Sulawesi pernah dihuni manusia purba antara 1 hingga 1.5 juta tahun lalu.

Penemuan artifak di Tapak Calio, Kabupaten Soppeng mengesahkan Pulau Sulawesi pernah dihuni manusia purba antara 1 hingga 1.5 juta tahun lalu.

MAKASSAR – Penemuan artifak di Tapak Calio, Kabupaten Soppeng, Sulawesi Selatan mengesahkan Pulau Sulawesi pernah dihuni manusia purba antara 1 hingga 1.5 juta tahun lalu.

Ahli arkeologi Griffith University, Australia, Prof Adam Brumm berkata, dapatan itu membuktikan Sulawesi bukan sekadar laluan perantara, sebaliknya menjadi lokasi penempatan awal manusia purba.

“Ini menunjukkan di Pulau Sulawesi pernah menjadi penempatan manusia purba, bukan hanya di Flores, Indonesia dan Luzon, Filipina,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Artifak berkenaan ditemui pasukan arkeologi di kebun jagung milik penduduk Desa Calio, Kecamatan Lilirilau. Penyelidikan di kawasan itu bermula sejak 2019, melibatkan kajian terhadap serpihan batu hasil pembuatan pelbagai peralatan besar.

Penentuan tarikh terhadap fosil yang ditemukan bersama artifak menunjukkan usianya dianggarkan antara 1.04 juta hingga 1.48 juta tahun.

“Serpihan batu ini dipercayai digunakan manusia purba untuk memotong dan menghasilkan pelbagai peralatan lain.

“Penemuan ini membuktikan Pulau Sulawesi dihuni manusia purba hampir pada tempoh yang sama, malah lebih awal berbanding Flores dan Luzon,” katanya.

Menurut Adam, dapatan itu turut mengesahkan kemampuan manusia purba menyeberangi lautan untuk sampai ke pulau-pulau di rantau tersebut.

“Dengan penemuan artifak berusia lebih sejuta tahun di Soppeng, saintis kini menilai semula bagaimana dan bila manusia purba berhijrah ke wilayah Wallacea,” jelasnya.

Beliau berkata, artifak tersebut memperlihatkan teknik pembuatan alat batu yang cukup mahir, menandakan wujudnya pengetahuan teknikal dalam memanfaatkan sumber daya alam di sekitarnya.

“Sulawesi kini menjadi pusat penting untuk memahami perjalanan awal manusia menakluk kepulauan di timur dan berhijrah menuju Australia,” katanya.-CNN INDONESIA

Scroll to Top