harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 14 rumah dan empat premis kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Pantai Dalam, di sini, lewat malam semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata, 36 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Hang Tuah, BBP Seputeh, dan BBP Sri Hartamas dikerah ke lokasi sejurus terima panggilan pada 11.11 malam.
“Sebaik sahaja pasukan tiba di lokasi, didapati kebakaran sudah memusnahkan sebahagian besar kawasan rumah setinggan.
“Sebanyak 14 rumah terlibat dalam insiden tersebut, dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, api merebak ke empat premis kedai yang terletak berhampiran.
Katanya, antara premis terjejas termasuk sebuah Mydin Mart yang terbakar di tingkat bawah kira-kira 20 peratus musnah, manakala Pasar Raya Karnival musnah sepenuhnya di bahagian atas.
“Beberapa kedai lain yang bersebelahan turut terjejas dengan anggaran kemusnahan sebanyak 90 peratus setiap satu.
“Tiada kemalangan jiwa dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.49 pagi hari ini manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd