Bersalah bunuh keluarga mentua, bukti dedah Erin cuba racun suami dengan pasta, kari

Bersalah bunuh keluarga mentua, bukti dedah Erin cuba racun suami dengan pasta, kari

Melbourne: Seorang wanita Australia yang sebelum ini disabitkan bersalah membunuh tiga ahli keluarga mentuanya dengan hidangan cendawan beracun, kini berdepan dakwaan baharu selepas mahkamah membenarkan pendedahan bukti cubaan meracun suaminya menggunakan pelbagai makanan lain termasuk pasta dan kari ayam.

Erin Patterson, 50, sebelum ini didapati bersalah membunuh ibu mentuanya Gail Patterson, bapa mentua Donald Patterson, dan adik ipar Gail, Heather Wilkinson, selepas menjemput mereka menghadiri makan tengah hari di kediamannya di Leongatha, kira-kira 135 kilometer dari Melbourne, pada 2023.

Mangsa dikatakan diberi hidangan Beef Wellington mengandungi cendawan beracun jenis ‘death cap’ menyebabkan ketiga-tiga mereka meninggal dunia.

Seorang lagi mangsa, Ian Wilkinson, suami kepada Heather, turut diracun tetapi berjaya diselamatkan.

Walaupun Erin sebelum ini menghadapi lima pertuduhan cubaan membunuh termasuk terhadap bekas suaminya, Simon Patterson, empat daripadanya telah ditarik balik oleh pihak pendakwaan sebelum perbicaraan pertama bermula.

Bagaimanapun, selepas sabitan terhadap kes utama, Hakim Christopher Beale membenarkan butiran cubaan meracun terhadap Simon didedahkan kepada umum buat kali pertama, berdasarkan bukti dalam perbicaraan bermula Oktober 2024.

Simon dalam keterangannya memaklumkan bahawa dia mula mengesyaki makanan dimasak Erin sebagai punca penyakitnya selepas beberapa kali jatuh sakit pada 2021 dan 2022.

Antara makanan yang dikaitkan ialah penne bolognese, kari ayam, dan sandwic.

Menurut keterangan mahkamah, keracunan yang dialami Simon menyebabkan dia hampir maut, mengalami kelumpuhan sementara, dan terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian usus akibat kerosakan dalaman.

Simon juga memaklumkan bahawa dia mula menyimpan rekod simptom dan makanan yang dimakan dalam bentuk fail spreadsheet untuk mengesan pola penyakitnya.

Mahkamah turut diberitahu bahawa komputer milik Erin Patterson mengandungi carian berkaitan bahan toksik dan jenis racun, namun bukti digital itu tidak dibenarkan dikemukakan dalam perbicaraan terdahulu atas alasan teknikal dan prejudis kepada juri.

Erin sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan mendakwa kematian tiga mangsa adalah satu kemalangan tragik.

Mahkamah dijadualkan bersidang semula pada 25 Ogos untuk sesi pendengaran hukuman selama dua hari, termasuk kenyataan impak oleh keluarga si mati dan mangsa terselamat.

Erin Patterson kini berdepan kemungkinan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh dan cubaan membunuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top