Syazani Zikry Hidupkan Watak Karim Dalam Filem Angkat – “Saya Kena Lembutkan Suara Demi…”

Syazani Zikry Hidupkan Watak Karim Dalam Filem Angkat – “Saya Kena Lembutkan Suara Demi…”

Muncul dengan filem terbaharu di layar lebar, pelakon muda Syazani Zikry tampil membawakan watak sebagai Karim dalam filem Angkat, karya arahan Feisal Azizuddin yang akan menemui penonton di pawagam bermula 14 Ogos ini.

Mengisahkan tiga beradik yang terpaksa mengusung jenazah ayah mereka ke kampung setelah van jenazah rosak di tengah jalan, Angkat membawa naratif unik berteraskan genre komedi gelap yang turut menyentuh nilai kekeluargaan, tanggungjawab dan pengorbanan.

Menurut Syazani, watak Karim yang merupakan anak bongsu digambarkan sebagai seorang yang lemah lembut tetapi penuh tanggungjawab.

“Walaupun Karim nampak lembut, dia sebenarnya tegas dengan prinsip dan sangat menghormati ayahnya serta keluarganya. Itu yang menjadikan watak ini istimewa bagi saya,” jelas Syazani kepada XTRA.

Namun begitu, menjayakan karakter sebegitu bukanlah sesuatu yang mudah buat pendatang baru ini.

Cabaran utamanya adalah untuk melunakkan intonasi suara yang asalnya lebih berat, selain mengubah bahasa tubuh agar lebih selari dengan karakter yang dibawa.

“Saya kena banyak buat latihan dan berbincang dengan pengarah supaya pembawaan saya tidak menyinggung mana-mana pihak. Saya mahu pastikan watak ini dapat disampaikan dengan penuh rasa hormat dan keikhlasan,” katanya.

Bercakap tentang harapannya mengenai filem ini, Syazani mengakui Angkat mungkin menyentuh beberapa isu sensitif seperti kematian dan agama, namun yakin mesej positif yang dibawa mampu menyentuh hati penonton.

“Walaupun kita kadang kala ada salah faham dengan ibu bapa, jangan sesekali derhaka kepada mereka. Biarpun adik-beradik bergaduh macam mana pun, akhirnya kita tetap akan bersatu kerana darah yang sama mengalir dalam badan kita,” ujarnya penuh makna.

Scroll to Top