Perangi rasuah! Abang Johari minta SPRM siasat salah guna di Sarawak

Perangi rasuah! Abang Johari minta SPRM siasat salah guna di Sarawak

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg memberi lampu hijau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sesiapa sahaja, termasuk penjawat awam, yang disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa di negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di pejabatnya di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.

“Abang Johari menyatakan sokongannya dan tidak akan mengganggu sebarang siasatan yang dijalankan di negeri ini,” katanya.

Abang Johari minta SPRM siasat salah guna di Sarawak

Jelas Azam, antara kes yang sering disiasat di Sarawak melibatkan salah guna kuasa, penerimaan rasuah berkaitan projek, dan tuntutan palsu yang membawa kepada ketirisan kewangan negeri serta menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Ketirisan itu berlaku apabila projek tidak disiapkan, tidak dilaksanakan langsung atau tidak menepati piawaian dan akhirnya rakyat menanggung akibatnya, termasuk risiko kemalangan atau kerugian infrastruktur,” katanya lagi.

SPRM menurut beliau akan terus memperkukuh komitmen memerangi rasuah dan meningkatkan integriti pentadbiran negeri melalui kerjasama erat dengan kerajaan Sarawak.

“SPRM amat menghargai sokongan padu yang diberikan kepimpinan negeri dalam memastikan agenda integriti dan tadbir urus yang baik dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan,”ujar beliau.

Artikel lain: MB Negeri Sembilan jawab isu lawatan ke luar negara -“Tak puas hati, buat aduan SPRM”

Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM turut menyokong penuh penubuhan ombudsman oleh kerajaan Sarawak yang disifatkan sebagai inisiatif penting dan satu-satunya di Malaysia.

“Kerajaan negeri amat menyokong SPRM Sarawak terutama dalam usaha meningkatkan integriti dan juga membanteras rasuah dan saya melihat banyak inisiatif kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan integriti khususnya dalam penubuhan ombudsman.
“Ini adalah penubuhan yang saya sokong secara peribadi untuk penubuhan demi kepentingan kerajaan dan rakyat Sarawak,”jelasnya.

Menurut beliau, ombudsman Sarawak bertanggungjawab memantau pematuhan tadbir urus dan pentadbiran kerajaan negeri secara menyeluruh.

Sumber: Harian Metro (Mohd Roji Kawi)

Scroll to Top