
Suspek berjaya ditahan orang ramai yang berada di tempat kejadian. – Foto BANGKOK POST
BANGKOK – Dua pelancong Malaysia cedera parah selepas dibakar oleh seorang penganggur di Jalan Ratchadamri di sini pada Khamis malam.
Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam Khamis apabila suspek lelaki itu secara tiba-tiba menuang cecair pencair dari arah belakang ke atas dua rakyat Malaysia – seorang lelaki, Ong, 26, dan seorang wanita, Gan, 27 – yang ketika itu duduk di tangga berhampiran sebuah pusat beli-belah.
Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata, beliau telah melawat mangsa yang kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Beliau berkata, Ong dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Besar Polis, manakala Gan menerima rawatan di Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn.
“Ong mengalami lecur tahap kedua di bahagian atas badan, depan dan belakang. Kecederaannya serius tetapi tidak mengancam nyawa.
“Gan mengalami 36 peratus lecur tahap kedua, namun keadaannya stabil dan sedar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, pihak kedutaan telah menghubungi keluarga Ong dan Gan untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Lumpini Kolonel Polis Yingyos Suwanno berkata suspek berusia 30 tahun dari Wilayah Sa Kaeo itu didakwa menyerang mangsa akibat kecewa kerana menganggur sebelum cuba melarikan diri tetapi ditangkap oleh orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Yingyos berkata, suspek kini ditahan di Balai Polis Lumpini sementara siasatan terhadap motif serangan diteruskan dan pihak polis dijangka mengambil keterangan daripada mangsa sebaik sahaja keadaan mereka stabil. – Bernama