
Penjaga gol Malaysia Nurdiana Mohd menyelamatkan serangan pemain Jepun Yuka Kurimoto pada perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita Bawah 20 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini. Keputusan perlawanan, Malaysia 0-16 Jepun. Foto Bernama
HARAPAN skuad bola sepak wanita Bawah 20 Tahun (B-20) negara untuk menghidupkan peluang ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-20 2026 berakhir selepas tewas 0-16 kepada Jepun dalam aksi kelayakan Kumpulan F di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut buat skuad Malayan Tigress kendalian Cameron Ng, selepas tunduk 0-3 kepada Iran dalam aksi sulung pada Khamis lalu.
Skuad muda negara ketinggalan seawal minit ke-4 hasil jaringan Anon Tsuda, yang turut melengkapkan hatrik pada separuh masa pertama menerusi jaringan pada minit ke-23 dan 30.
Mao Itamura turut cemerlang apabila meledak gol pada minit ke-14, 16 dan 34, manakala Asako Furuta menjaringkan gol ketujuh Jepun pada masa kecederaan babak pertama.
Bersambung babak kedua, Jepun bimbingan Akira Ijiri yang sebelum ini membenam Guam 5-0 tidak mengendurkan serangan, malah terus menambah sembilan gol lagi untuk melengkapkan kemenangan besar.

Pemain Malaysia Dishanna Pillay (dua, kiri) diasak pemain Jepun Miharu Shinjo pada perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita Bawah 20 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini. Keputusan perlawanan, Malaysia 0-16 Jepun. Foto Bernama
Furuta menambah dua lagi gol peribadi pada minit ke-46 dan 94 bagi melengkapkan hatrik, diikuti jaringan So Kijoma (m-53, m-59, m-89), Sawa Tsuge (m-64) serta dua gol daripada Yuka Kurimoto (m-69, m-78).
Malayan Tigress dijadual menamatkan kempen kelayakan menentang Guam, yang sebelum itu tewas 0-2 kepada Iran, pada Ahad ini.