rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Empat lelaki warga Bangladesh yang disyaki terbabit kegiatan ulat emas dan telefon pintar ditahan dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, hari ini.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, penahanan dibuat pihaknya dengan kerjasama Keselamatan Penerbangan (AVSEC) hasil daripada risikan serta pemprofilan suspek.
“Pasukan berjaya merampas tiga barang kemas bernilai RM160,000; 12 telefon pintar pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM22,700; wang tunai sebanyak RM5,042.10 serta lima pasport antarabangsa milik warga Bangladesh.
“Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan RM187,742.10,” kata kenyataan itu, malam ini.
Menurut kenyataan itu lagi, satu laporan polis dibuat susulan penahanan dan rampasan berkenaan.
“Kesemua suspek kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor untuk siasatan lanjut dan proses pendakwaan,” katanya.
Katanya, tiga suspek ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas manakala seorang lagi suspek ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa pas atau permit sah.
AKPS berkata kejayaan itu membuktikan kerjasama dan keberkesanan pasukan keselamatan di pintu masuk negara dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta menyekat kemasukan elemen tidak diingini yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd