AKPS patahkan cubaan 22 warga asing masuk secara tidak sah di KLIA

AKPS patahkan cubaan 22 warga asing masuk secara tidak sah di KLIA

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan cubaan 22 warga asing masuk ke negara ini secara haram dalam siri operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang.

AKPS menerusi kenyataan hari ini berkata, seramai 21 daripadanya ditolak kemasukan ke Malaysia, manakala seorang lagi ditahan bagi siasatan lanjut berkaitan pemalsuan dokumen perjalanan.

“Cubaan pertama membabitkan enam warga Kemboja termasuk seorang individu yang dipercayai bertindak sebagai pembawa.

“Kesemua mereka saling tidak mengenali dan mendakwa datang ke Malaysia untuk mendapatkan suaka politik.

“Namun, siasatan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen sokongan permohonan suaka seperti ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, AKPS berkata, tiga warga Indonesia dikesan menyalahgunakan kemudahan visa sekali masuk selama 90 hari.

“Siasatan mendapati mereka gagal mengemukakan justifikasi kukuh mengenai tujuan kemasukan, tidak mempunyai bukti tempahan penginapan dan tidak memiliki tiket penerbangan pulang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka disyaki cuba memasuki negara ini untuk bekerja secara tidak sah,” katanya.

Dalam operasi berasingan, AKPS menahan seorang warga China selepas didapati menggunakan pasport yang mempunyai pengesahan mencurigakan dari Disember 2024 hingga bulan ini.

“Suspek dipercayai memperoleh cap keluar masuk secara tidak sah menggunakan kaedah ‘flying’ dan menyalahgunakan dokumen perjalanan,” katanya suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, AKPS turut berjaya menahan 12 individu terdiri daripada tujuh warga India dan lima warga Pakistan yang cuba melepasi kaunter pemeriksaan imigresen tanpa pemeriksaan sah, dipercayai cuba menyusup masuk bersama penumpang lain.

Kesemua individu terbabit dikenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) dan akan dihantar pulang ke negara asal dengan segera mengikut penerbangan terawal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top