JDT tewaskan Selangor 3-0, menang Piala Sumbangsih 8 musim berturut-turut

JDT tewaskan Selangor 3-0, menang Piala Sumbangsih 8 musim berturut-turut

ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Selangor FC 3-0 pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Harimau Selatan menjulang trofi tersebut buat lapan musim berturut-turut sejak 2018.

Beraksi di laman sendiri, JDT hanya mengambil masa 59 saat untuk memecahkan kebuntuan menerusi jaringan Jairo Da Silva yang menyudahkan umpanan cantik Jonathan Silva bagi meletakkan pasukan di hadapan.

Jaringan awal itu menyuntik semangat juang skuad kendalian Xisco Munoz yang bertali arus melancarkan serangan ke kubu lawan bagi mencari tambahan gol.

Walau bagaimanapun, gerakan yang dijelmakan oleh Arif Aiman Hanapi dan Joao Figueiredo pada babak pertama itu tidak menemui sentuhan penyudah yang untuk merobek gawang lawan.

Arif Aiman hampir menambah jaringan bagi JDT pada minit ke-40 namun sepakan bebas yang diambil berjaya diselamatkan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi yang tangkas melayangkan badan menepis keluar bola itu dari pintu gol Selangor.

Namun, Gergasi Merah tidak hanya berdiam diri, malah turut mencari peluang untuk menyamakan kedudukan pada aksi babak pertama itu.

Peluang terbaik dihasilkan anak buah Katsuhito Kinoshi hadir pada penghujung babak pertama menerusi percubaan tepat ke arah gol oleh Chrigor Moraes pada minit ke-42 namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berjaya menafikan peluang itu.

Figuiredo hampir membuka buku jaringan bersama JDT, namun rembatan yang dilakukan pemain warisan Harimau Malaya itu dalam kotak penalti pada minit ke-50 berjaya diselamatkan Kalamullah Al Hafiz.

Penjaga gol Gergasi Merah itu turut cemerlang menafikan percubaan Bergson Da Silva pada minit ke-61 yang melepaskan rembatan deras ke arah pintu gol Selangor.

Walau bagaimanapun, Kalamullah Al Hafiz akhirnya tewas buat kali kedua setelah sepakan sudut Arif Aiman berjaya disambut pemain bek tengah, Eddy Israfilov yang melompat tinggi menanduk masuk bola menerjah gawang lawan pada minit ke-63.

Sepuluh minit berselang, Arif Aiman berjaya melebarkan kedudukan bagi JDT apabila gerakan solonya yang melepasi kawalan Kevin Deeromram sebelum melepaskan rembatan deras dari sudut sukar bagi menewaskan Kalamullah Al Hafiz.

JDT terus mengasak skuad Gergasi Merah bagi menambah derita buat pasukan pelawat itu, namun tiada pertambahan gol berjaya dihasilkan dan keputusan 3-0 kekal ke wisel penamat. – UTUSAN

Scroll to Top