Reuters
Son belum pasti turun aksi sulung bersama LAFC
Chicago: Spekulasi terus hangat mengenai sama ada bintang baharu Los Angeles FC (LAFC), Son Heung-Min akan membuat penampilan sulung menentang Chicago Fire, awal pagi esok waktu Malaysia atau sebaliknya.
Penyerang Korea Selatan itu baru saja mencipta sejarah perpindahan MLS selepas dibeli daripada Tottenham Hotspur dengan yuran rekod AS$26.5 juta (RM125 juta) dan menandatangani kontrak hingga 2029.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Steve Cherundolo memaklumkan Son masih menunggu proses imigresen selesai sebelum boleh diturunkan.
“Kecergasan saya berada pada tahap terbaik. Saya datang untuk bermain bola sepak, tetapi ada persiapan yang perlu dilakukan. Saya akan bekerjasama dengan jurulatih dan pasukan untuk segera turun padang,” kata Son.
LAFC kini memburu kedudukan lebih baik dalam carta Persidangan Barat selepas tewas 0-1 kepada Portland pada aksi liga terakhir mereka, 25 Julai lalu.
Rakan sepasukan, Denis Bouanga yang mengumpul 13 gol musim ini dijangka kembali beraksi selepas tidak diturunkan ketika menang ke atas Tigres dalam saingan Piala Liga.
Chicago pula berada di prestasi meyakinkan dengan dua kemenangan berturut-turut tanpa bolos, hasil sentuhan berbisa Hugo Cuypers yang meledak 14 gol setakat ini.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada 2019 berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
© New Straits Times Press (M) Bhd