Bayi dibunuh sejurus dilahirkan!

Bayi dibunuh sejurus dilahirkan!

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kekejaman Israel semakin menggila apabila ramai bayi Palestin mati tanpa sempat diberi nama atau peluang untuk hidup.

Perang di Gaza memasuki 666 hari terus meragut nyawa bukan hanya golongan dewasa dan kanak-kanak bahkan bayi yang belum sempat dilahirkan atau dalam kandungan turut dijadikan sasaran.

Wakil Muslim Care Malaysia (MCM) di Gaza, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar berkata, salah satu insiden menyayat hati apabila petugas kesihatan di Kompleks Perubatan Nasser di Gaza terpaksa memindahkan dua jasad bayi yang tidak lagi bernyawa.

“Bayi pertama disahkan meninggal dunia dalam rahim ibunya hanya beberapa hari sebelum tarikh kelahirannya. Doktor percaya trauma psikologi akibat bunyi letupan bom Israel, ketakutan berpanjangan dan tekanan berterusan memberi kesan kepada kesihatan ibunya.

“Ini sekali gus menyebabkan kematian bayi itu secara senyap dalam kandungan ibunya,” katanya.

Menurutnya, bayi kedua pula hanya sempat menghela nafas kurang 24 jam selepas dilahirkan.

“Tubuhnya terlalu lemah untuk bertahan dalam keadaan tanpa bekalan perubatan mencukupi. Malah kebuluran dan kekurangan zat ditanggung ibunya turut menyebabkan nyawa bayi ini sukar bertahan,” katanya yang berkongsi maklumat terkini di Gaza menerusi WhatsApp, semalam.

Menurutnya, jururawat yang berada di wad hospital turut tidak dapat menahan air mata.

“Ini bukan hanya tentang kematian. Ini soal bagaimana kehidupan bayi tanpa dosa ini dirampas sebelum sempat ia bermula.

“Lebih memilukan, kedua-dua jasad kecil ini tidak sempat diberikan nama. Tiada rekod rasmi, tiada kelahiran tercatat, hanya kematian sunyi dalam kebisingan dentuman bom dijatuhkan Israel,” katanya.

Menurutnya, tentera Israel tidak lagi mampu membezakan antara medan perang dan wad bersalin di hospital.

“Berdasarkan laporan terkini Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 16,000 kanak-kanak dan bayi terbunuh sejak serangan bermula pada 7 Oktober 2023. Angka ini termasuk bayi dalam kandungan yang meninggal dunia akibat trauma fizikal dan emosi yang dialami ibu masing-masing,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak di Gaza kini turut berdepan ancaman wabak berjangkit dipanggil sindrom Guillain-Barre.

Sindrom Guillain-Barre adalah penyakit saraf yang menyebabkan sistem imun badan menyerang saraf, membawa kepada kelumpuhan, kesukaran bernafas dan kematian jika tidak dirawat segera.

“Keadaan menjadi lebih buruk di Gaza berikutan penyusutan bekalan perubatan, gangguan bekalan elektrik dan kebuluran yang meluas, menjadikan kanak-kanak kumpulan paling terkesan.

“Terbaru tiga kes kematian kanak-kanak akibat sindrom Guillain-Barre dikenal pasti. Kementerian Kesihatan Palestin memberi amaran berhubung peningkatan mendadak kes lumpuh lembik akut dan jangkitan penyakit berjangkit yang tidak terkawal ini.

“Dua daripada mangsa yang maut adalah kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun. Mangsa gagal diselamatkan kerana kekurangan rawatan dan ubat penting berikutan sekatan berterusan ke atas wilayah itu,” katanya.

Beliau berkata, kebuluran yang berlaku menyebabkan kanak-kanak di Gaza terdedah malnutrisi akut dan sistem imun yang lemah.

“Kami merayu campur tangan segera daripada organisasi antarabangsa dan badan kemanusiaan bagi membekalkan ubat-ubatan, peralatan perubatan dan akses kesihatan yang terputus.

“Bantuan yang tiba di Gaza ketika ini terlalu kecil jumlahnya berbanding 2 juta penduduk Palestin yang mengharapkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM) Zulkifli Wahijan mengajak orang ramai menyertai Himpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza yang bakal diadakan di Dataran Merdeka di sini, bermula jam 4 petang hingga 11 malam hari ini.

Himpunan ini bagi menzahirkan simpati rakyat Malaysia terhadap nasib dialami rakyat Palestin yang ditindas dan berdepan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden manusia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top