Persiapan pasukan Liga Super hambar, lesu

Persiapan pasukan Liga Super hambar, lesu

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) musim ini diramalkan kurang menarik dan hambar terutamanya selepas melihat persiapan pasukan-pasukan lain yang disifatkan kurang bermaya berbanding juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pasukan lain seolah-olah tidak bernafsu untuk mempersiapkan pasukan dan sekali lagi hanya sekadar untuk menjadi pelengkap sekali gus merencatkan kemeriahan saingan liga musim ini.

Menurutnya, ketiadaan beberapa pasukan yang pernah menjadi pencabar utama seperti Kedah, Perak dan Sri Pahang turut menjejaskan ‘seri’ saingan Liga Super musim ini yang membuka tirainya pada Jumaat.

“Saya lihat tiada yang menarik daripada persiapan pasukan lain. Semuanya nampak biasa-biasa sahaja, seolah-olah hanya mahu cukup syarat untuk bermain dalam liga.

“Kita pun tidak dengar mereka membawa masuk pemain luar biasa atau yang benar-benar berkualiti tinggi. Malah, pemain tempatan yang menonjol pun sukar dilihat. Persiapan mereka saya sifatkan memang sangat malap.

“Mungkin kerana kekangan kewangan, mereka tidak berani berbelanja besar untuk membawa masuk pemain import berkualiti tinggi.

“Hakikatnya, kita perlu terima bahawa saingan liga kali ini tidak banyak berbeza dengan musim lepas,” katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam pada itu, Jamal yang juga bekas pemain kebangsaan dan Pahang turut menyifatkan JDT akan terus menjadi pasukan yang tidak boleh ‘disentuh’ oleh pasukan lain dan akan terus bermaharajalela dalam saingan liga.

“Atas kertas, saya rasa JDT memang tak ada masalah untuk kekal sebagai pasukan dominan.

“Dari segi kualiti pemain, kemampuan kewangan dan kemasukan ramai muka baharu yang hebat, mereka memang sukar digugat.

“Mereka dijangka memang tak boleh disentuh langsung oleh pasukan lain dan mengekalkan kesemua kejuaraan musim ini,” katanya.

Namun, beliau tetap meletakkan harapan agar elemen kejutan dapat dipamerkan oleh pasukan lain sekali gus memberi warna kepada perjalanan liga.

“Ia kerana saingan liga belum mula lagi, kita tak tahu kalau ada pasukan yang mampu buat kejutan.

“Harapan saya juga daripada segi sokongan penyokong pun akan lebih baik untuk memberikan semangat kepada pasukan,” katanya.

Scroll to Top