Isu masa depan negara semakin hangat diperdebatkan khususnya apabila berlaku demonstrasi Turun Anwar yang dianjurkan pembangkang, baru-baru ini. Berlangsung di
tengah suasana politik negara yang masih mencari keseimbangan, perhimpunan ini dipropagandakan sebagai isyarat penolakan terhadap kepimpinan sedia ada.
Namun, persoalan utama yang perlu ditelaah: kepada siapa hendak kita serahkan masa depan negara jika kepimpinan hari ini ditolak – dan adakah gerakan seperti ini benar-benar menawarkan penyelesaian yang lebih baik untuk rakyat?
Kritik terhadap demonstrasi
Demonstrasi jalanan bukan sesuatu yang asing dalam iklim demokrasi, namun apabila dilakukan tanpa matlamat yang jelas serta tanpa mempersembahkan solusi atau pelan jangka panjang yang realistik, ia hanya menambah kekeliruan serta ketidakstabilan dalam kalangan rakyat. Demonstrasi yang bermotifkan emosi semata-mata dan disulami retorik tanpa arah yang jelas, berisiko tinggi menjadi alat politik untuk kepentingan terpilih, bukan suara tulen rakyat.
Malah, ketiadaan pemimpin alternatif yang berwibawa serta ketelusan agenda yang diperjuangkan menampakkan gerakan ini lebih sebagai alat tekanan politik daripada gerakan reformasi tulen.
Lebih membimbangkan, usaha seperti ini mengabaikan keperluan kepada kestabilan – sesuatu yang amat penting dalam proses pemulihan ekonomi dan pemantapan sosiopolitik negara pascapandemik. Politik perpecahan dan penolakan melulu akan hanya mengeruhkan lagi keadaan dan tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat kebanyakan.
Ancaman campur tangan oligarki dan geopolitik dunia
Menambah lagi kerisauan, kekacauan dan ketidakstabilan politik dalaman akan menjadi peluang keemasan buat oligarki – kumpulan elit berkepentingan peribadi dan ekonomi – untuk campur tangan dalam membuat keputusan negara. Mereka mampu menyalurkan dana, pengaruh serta mengatur naratif demi keuntungan peribadi, sekali gus menjejaskan kedaulatan dan masa depan bangsa.
Ketahanan nasional berhadapan oligarki dan campur tangan asing
Ketahanan nasional ialah keupayaan negara menangkis, mencegah dan menyesuaikan diri terhadap pelbagai ancaman, termasuk pengaruh oligarki serta campur tangan asing. Dalam era globalisasi dan geopolitik yang semakin rumit, aspek ini menjadi semakin penting untuk memastikan kedaulatan dan kepentingan negara terus terpelihara.
Strategi ketahanan nasional melawan oligarki
• Reformasi politik dan demokrasi bagi meningkatkan ketelusan sistem pilihan raya dan mengurangkan pengaruh kewangan serta patronase dalam politik.
• Penguatan institusi penegak hukum dan antirasuah dengan memperkasa SPRM serta perlindungan terhadap pegawai penyiasat.
• Transparansi dan akauntabiliti melalui keterbukaan maklumat pentadbiran, ekonomi dan polisi kerajaan untuk pengawasan rakyat.
• Pemberdayaan masyarakat sivil dan media bebas sebagai benteng kawalan bagi menghalang manipulasi maklumat oleh rangkaian oligarki.
• Pendidikan sivik untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahaya pengaruh oligarki dan hak demokratik.
Ketahanan nasional menghadapi campur tangan asing
• Pengukuhan keupayaan dan sempadan negara – peningkatan aset pertahanan, pengawasan teknologi dan pos kawalan.
• Perisikan dan kerjasama strategik untuk berkongsi maklumat serta bertindak pantas terhadap ancaman luar.
• Diplomasi pertahanan dan dasar luar yang bebas serta berkecuali, menegaskan Malaysia bukan bidak kepada kuasa besar.
• Ketahanan ekonomi melalui diversifikasi dan pengurangan kebergantungan kepada luar, terutama dalam pelaburan dan teknologi.
• Memperkuat patriotisme dan jati diri nasional supaya rakyat tidak mudah terpengaruh oleh agenda asing.
Intinya, ketahanan nasional bukan hanya soal undang-undang atau alat, namun juga institusi yang kukuh, perpaduan rakyat, kepimpinan berintegriti dan kesediaan seluruh warga untuk mempertahan kedaulatan negara daripada kerakusan oligarki dan manipulasi asing.
Cadangan pendekatan Kerajaan Perpaduan
Kerajaan Perpaduan hari ini wajar mengambil langkah proaktif untuk menghadapi naratif pembangkang dan risiko geopolitik dengan pendekatan yang lebih substantif:
Relasi komunikasi dua hala: Tingkatkan dialog terbuka dengan pelbagai lapisan masyarakat supaya segala isu dan rasa tidak puas hati dapat disalurkan melalui saluran rasmi dengan lebih produktif, bukan dengan demonstrasi jalanan.
Tindakan berasaskan fakta, bukan retorik: Pemerintah perlu sentiasa membentangkan hasil pencapaian dan perancangan masa depan berteraskan data serta indikator kemajuan yang jelas.
Pengukuhan integriti dan ketelusan: Usaha mempertingkatkan integriti pentadbiran perlu diteruskan dan diperkasakan, mengelakkan ruang kepada campuran tangan luar, sama ada daripada oligarki mahupun kuasa asing.
Ketahanan nasional terhadap pengaruh luar: Kukuhkan sistem pemerintahan dan ekonomi supaya tidak mudah dipengaruhi tekanan atau manipulasi geopolitik luar.
Libat urus anak muda: Libatkan generasi muda dalam pembinaan negara melalui pendidikan, latihan, keusahawanan dan pembentukan dasar supaya suara mereka diinstitusikan, bukan sekadar alat retorik politik.
Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)
© New Straits Times Press (M) Bhd