SHAH ALAM – Di bumi Gaza yang terus dibedil tanpa henti nyawa bayi Palestin kini terhimpit antara derita perang, kebuluran dan kekurangan dari segi bekalan perubatan.
Dalam satu insiden memilukan di Kompleks Perubatan Nasser, Gaza, seorang bayi yang baru dilahirkan hanya mampu bertahan kurang 24 jam sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Tubuhnya terlalu lemah, manakala ibunya pula mengalami kekurangan zat makanan akibat sekatan berterusan oleh tentera Israel.
Wakil Muslim Care Malaysia (MCM) di Gaza, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar berkata, keadaan hospital di wilayah berkenaan semakin kritikal, terutama bagi pesakit bayi dan ibu bersalin.
“Bayi itu tidak sempat mendapat rawatan lengkap kerana bekalan ubat dan peralatan perubatan semakin susut.
“Dengan keadaan ibunya yang kebuluran dan kekurangan zat, nyawa tubuh kecil itu sukar untuk bertahan,” katanya menerusi laporan yang dikirimkan melalui WhatsApp pada Jumaat.
Ujarnya, beberapa hari sebelum itu, seorang lagi bayi meninggal dunia ketika masih berada dalam kandungan ibunya, hanya beberapa hari sebelum tarikh kelahiran.
Menurut Ahmed, doktor percaya trauma akibat dentuman bom, tekanan psikologi berpanjangan dan ketakutan yang dialami si ibu telah menjejaskan kandungan sehingga jantung bayi terhenti.
Ulas beliau, jururawat yang bertugas tidak dapat menahan air mata ketika memindahkan jasad kedua-dua bayi tersebut.
“Kedua-duanya tidak sempat diberi nama. Tiada catatan kelahiran.
“Mereka pergi dalam senyap di tengah-tengah kebisingan serangan bom,” ujarnya.
Kata Ahmed, sejak 7 Oktober 2023, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan lebih 16,000 kanak-kanak dan bayi terbunuh di Gaza, termasuk yang meninggal dunia dalam kandungan akibat trauma fizikal dan emosi.
Ujar beliau, dalam masa sama, kanak-kanak di wilayah itu kini turut berdepan ancaman penyakit saraf berbahaya iaitu sindrom Guillain-Barre yang boleh menyebabkan kelumpuhan dan kematian jika tidak dirawat segera.
Menurutnya, sekatan ke atas bekalan perubatan menjadikan situasi lebih genting dengan tiga kematian kanak-kanak akibat sindrom tersebut dilaporkan baru-baru ini.
“Kami merayu campur tangan segera daripada organisasi antarabangsa dan badan kemanusiaan bagi membekalkan ubat-ubatan, peralatan hospital serta bantuan kemanusiaan yang jauh daripada mencukupi bagi dua juta penduduk Gaza,” menurutnya.