Suspek dalang penipuan pelaburan masih dalam negara – Polis

Suspek dalang penipuan pelaburan masih dalam negara – Polis

mhafis@mediprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis percaya seorang lelaki dipercayai dalang penipuan pelaburan membabitkan kerugian RM2.3 juta masih bersembunyi di dalam negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, usaha mengesan lelaki terbabit sedang dijalankan dan siasatan mendapati dia masih berada di dalam negara.

Harian Metro semalam melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian RM2.3 juta.

Rusdi dilaporkan berkata, suspek yang pernah menetap di Rawang, Selangor dikesan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihaknya menerima 279 laporan polis sejak 2023 berhubung kes berkenaan yang didakwa dikendalikan sebuah syarikat.

“Berdasarkan siasatan, mangsa menyertai pelaburan selepas mengikuti webinar dianjurkan syarikat berkenaan. Syarikat itu didakwa menawarkan pulangan dividen sehingga 18 peratus atau 1.5 peratus sebulan kepada setiap pelabur.

“Pada peringkat awal, pelabur memperoleh keuntungan yang dijanjikan namun kemudiannya pelbagai alasan diberikan dan pulangan yang dijanjikan tidak dibayar,” katanya.

Katanya, susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Fikri Najib Ismail di talian 013-9839854 atau Inspektor Noor Azamin Noor Azahari di talian 011-65580848.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top