London: Arsenal melakukan rombakan besar skuad dengan membelanjakan hampir £200 juta (RM1.18 bilion) sebelum Ogos bagi mengukuhkan cabaran memburu kejuaraan musim ini dan mengelak krisis kecederaan yang menjejaskan prestasi tiga musim terakhir.
Antara pemain baharu yang dibawa masuk ialah Martin Zubimendi, Christian Norgaard, Cristhian Mosquera, Noni Madueke, penjaga gol Kepa Arrizabalaga dan penyerang prolifik Viktor Gyokeres yang meledak 54 gol musim lalu.
Kehadiran Gyokeres dijangka mengubah gaya permainan The Gunners kepada lebih langsung berbanding Kai Havertz yang sering beraksi sebagai false nine.
Di bahagian tengah, Zubimendi dan Norgaard menambah kekuatan serta pengalaman untuk memastikan kelancaran gerakan pasukan.
Bakat muda akademi Arsenal turut mencuri tumpuan dalam pramusim termasuk Ethan Nwaneri, Myles Lewis Skelly dan Max Dowman, 15, yang mempamer aksi meyakinkan walaupun usia masih mentah.
Selepas dua musim berturut-turut menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kedua dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, pengendali Mikel Arteta yakin skuadnya kini memiliki keseimbangan antara bintang senior dan bakat muda untuk menamatkan kemarau trofi lima tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd