am@hmetro.com.my
Butterworth: Wanita berdepan detik cemas apabila bayi dalam dukungannya ditarik lelaki warga Vietnam yang memegang pisau dan cuba melarikan diri dalam kejadian di pasar raya di Jalan Telaga Air di sini hari ini.
Kejadian berlaku 12.45 tengah hari ketika penyelia pasar raya cuba menahan lelaki itu yang dikatakan mahu keluar dari premis dengan membawa beberapa makanan laut tanpa membayarnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, dalam usaha penyelia itu menahan suspek bersama pekerja lain, suspek bertindak menarik bayi lelaki berusia 11 bulan sambil memegang sebilah pisau.
“Berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa serta beberapa orang awam di tempat kejadian sebelum suspek berjaya ditahan.
“Orang awam telah menghubungi polis dan tangkapan semula dibuat bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok bagi proses mendapatkan permohonan reman.
“Pihak polis menyeru kepada orang ramai supaya tidak mensensasikan kes berkaitan sehingga mengganggu ketenteraman awam pihak yang sedang menjalankan siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Shuheri Abd Rani di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis terdekat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 dan Seksyen 506 kanun sama.
Terdahulu tular beberapa video dan gambar kejadian di media sosial yang mencetuskan reaksi orang ramai apabila melihat warga asing yang didakwa mencuri dan bertindak samseng, termasuk tergamak menarik bayi dalam dukungan ibunya hingga lebam di belakang.
© New Straits Times Press (M) Bhd