am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Pemilik kedai perkakasan di Jalan Bertam Permata, di sini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan memasang Jalur Gemilang terbalik.
Pang Chin Tian,59, mengakui kesilapan itu yang mencetuskan rasa kurang senang masyarakat.
“Saya buat ini salah, saya mahu minta maaf… ini kesilapan pertama saya.
“Pagi tadi saya mahu ukur (ketinggian batang besi), belum ikat lagi (bendera). Apabila sudah naik (pasang) baru perasan (sedar bendera terbalik), jadi kita (dia dan pekerja) turunkan balik,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.
Terdahulu, Pang bersama pekerjanya berusia lingkungan 20-an dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kontroversi yang dicetuskan mereka.
Jelasnya, dia akur dan memberi kerjasama kepada pihak polis menjalankan siasatan berhubung insiden itu.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang hadir membuat laporan polis terhadap Pang mahu pihak berkuasa menyiasat secara telus agar menjadi pengajaran dan insiden sama tidak berulang lagi.
“Di saat kita nak menyambut Hari Kemerdekaan, saya rasa amat kesal perkara ini berlaku dalam Parlimen Kepala Batas, apatah lagi dalam KADUN (Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri ) saya sendiri.
“Kalau (pemilik kedai) kata perkara ini dia gunakan alasan sebagai culas, keculasan ini tak boleh diterima, kalau dianggap satu kecuaian pun ia tidak boleh diterima. Oleh itu, saya desak siasatan segera dijalankan oleh pihak polis,” katanya.
Beberapa platform media sosial hari ini tular rakaman berdurasi 21 saat memaparkan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang yang dipasang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik sebelum seorang lagi bertindak merakam aksi berkenaan.
Tinjauan NSTP ke kedai terbabit mendapati Jalur Gemilang sudah dipasang dengan betul di tepi papan tanda premis berkenaan.
Setakat ini, polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd