Harimau Kumbang sedia jerat Penyu

Harimau Kumbang sedia jerat Penyu

GEORGETOWN: Penang FC bersedia sepenuhnya untuk melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) dalam aksi pembukaan Liga Super 2025/2026 di Stadium Bandaraya, malam ini.

Musim ini, Penang FC beruntung apabila aksi pembukaan berlangsung di laman sendiri selepas tiga musim berturut-turut beraksi di gelanggang lawan untuk perlawanan pertama.

Ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail menganggap peluang bermain di tempat sendiri dalam aksi pembukaan sebagai satu kelebihan buat anak buahnya.

Katanya, mereka pernah menentang TFC dalam aksi pramusim dan aksi itu dapat memberi gambaran awal mengenai kekuatan serta kelemahan pasukan dari Pantai Timur itu.

“Jadi, kami boleh menggunakan pengalaman yang diperoleh daripada perlawanan tersebut untuk memerangkap Terengganu (TFC),” katanya.

Tambah Wan Rohaimi, tahap keserasian pemain termasuk kombinasi antara muka baharu dan lama serta pemain import agak memuaskan dan mampu membentuk kerjasama yang baik.

“Saya percaya kita tidak memerlukan masa yang lama untuk menunggu keserasian itu. Selepas beberapa aksi persahabatan, saya sudah nampak identiti pemain mula terbentuk,” kata beliau.

Dalam pada itu, pemain import berpengalaman dari Ivory Coast, Kipre Tchetche enggan mengambil mudah cabaran TFC apatah lagi beliau pernah menyarung jersi pasukan itu sebanyak dua kali iaitu bagi musim 2017 hingga 2019 dan musim 2022.

“Menentang bekas pasukan sebenarnya adalah satu cabaran yang besar kerana kita perlu membuktikan sesuatu kepada mereka.

“Apapun, saya yakin dengan kemampuan Penang FC ketika ini,” kata penyerang yang memiliki rekod cemerlang di depan gol itu walaupun kini telah berusia 38 tahun.

Seorang lagi pemain import, Stefano Brundo turut yakin bahawa Penang FC mampu mencipta kejutan ketika menentang TFC dengan sokongan padu ribuan penyokong tuan rumah.

Walaupun menamatkan saingan di tempat ke-10 musim lalu, Penang FC masih memiliki rekod yang baik ketika menentang TFC di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Super apabila tidak pernah tewas sejak beberapa musim yang lalu.-UTUSAN

 

Scroll to Top