am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dibuat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Peguam Shahlan Jufri yang menyaksikan proses itu atas permintaan keluarga arwah bermula dari jam 11 pagi hingga jam 7.30 malam tadi, berkata beliau sendiri melihat prosedur itu dari mula hingga akhir.
“Saya boleh beritahu perjalanan ‘post-mortem’ sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti yang di media sosial, seperti dakwaan ada ‘tangan-tangan’ tertentu, semua itu tiada.
“Saya sendiri lihat dan saksikan bagaimana arwah Zara diperiksa sehingga selesai, termasuk dengan semua prosedur yang diperlukan,” katanya ditemui pemberita di pekarangan HQE, di sini, malam ini.
Katanya, setelah proses bedah siasat siap, laporannya akan disediakan oleh pasukan forensik dan disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan oleh pihak berkenaan.
Mengenai berapa lama laporan itu boleh disiapkan, beliau berkata perkara itu tidak dapat ditentukan dengan tepat, namun paling lewat boleh sampai dua bulan.
“Kalau tanya proses itu berapa lama, saya tidak tahu dengan tepat. Biasanya, paling cepat atau paling minimum mungkin dalam tempoh tertentu, tetapi paling lambat mungkin dua bulan.
“Ini kerana ia melibatkan beberapa pakar dan semua pakar ini akan berbincang sebelum memuktamadkan laporan bedah siasat itu,” katanya.
Mengulas mengenai perjalanan bedah siasat, Shahlan berkata beliau melihat sendiri doktor memeriksa jenazah arwah Zara secara menyeluruh.
“Di dalam bilik forensik, doktor itu saya tengok macam mana dia (jenazah arwah) diperiksa, diperiksa secara menyeluruh.
“Beberapa orang anggota polis juga masuk, tetapi yang masuk ke dalam bilik bedah hanya saya dengan pasukan forensik. Sebab memang itu keinginan keluarga arwah Zara.
“Saya berada di situ dari jam 11 pagi sampai jam 7.30 malam tadi. Kalau tanya berapa lama periksa bedah siasat bagi keluarga, saya tidak pasti sebab bergantung kepada pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, proses bedah siasat jenazah arwah Zara dijalankan empat orang pakar, termasuk Pakar Perunding Patologi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun.
Katanya, mereka dibantu jurufoto forensik dan jurufoto polis.
Selepas selesai bedah siasat, jenazah arwah Zara dihantar semula ke Sipitang untuk dikebumikan semula di lokasi yang sama.
Arwah sebelum ini dilapor meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Kinarut pada 16 Julai lalu.
Berita lanjut menyusul
- Petugas media, orang awam penuhi pekarangan hospital ikuti kes Zara Qairina
- Peguam nafi kutip sumbangan biayai yuran guaman kes Zara Qairina
- Peguam, tiga polis turut memerhati proses bedah siasat Zara Qairina
- ‘Itu bukan suara Zara Qairina, jangan sebar fitnah’ – Peguam
- Zara Qairina suka mengaji, solat tak pernah tinggal – ustazah
- Empat pakar patologi jalankan bedah siasat ke atas mayat Zara Qairina
- DNA tak akan musnah biarpun mayat sudah lama dikebumikan – Pakar forensik
- 40 polis berkawal sepanjang proses bedah siasat Zara Qairina di HQE I
- Bedah siasat Zara Qairina di Hospital Queen Elizabeth I
© New Straits Times Press (M) Bhd