Kuala Lumpur: Arkeologi marin merupakan satu cabang arkeologi yang memberi tumpuan kepada kajian tinggalan sejarah aktiviti manusia yang berkaitan dengan lautan atau marin. Ia merangkumi penyelidikan terhadap tapak-tapak seperti kapal karam, pelabuhan purba, artifak yang tertanam di dasar laut, dan struktur binaan bawah air yang pernah memainkan peranan penting dalam peradaban manusia.
Kaitan rapat antara arkeologi marin dan warisan kebudayaan bawah air bukan sahaja membantu kita memahami sejarah dan identiti bangsa dari perspektif maritim, tetapi juga menuntut usaha pemuliharaan yang serius agar khazanah warisan negara tidak terus tenggelam dan dilupakan oleh generasi akan datang.
Di Malaysia, warisan kebudayaan bawah air tidak hanya terkandung dalam dokumen dan bangunan bersejarah, tetapi turut tersimpan bersama kapal-kapal karam yang banyak terdapat di perairan negara kita. Dianggarkan lebih ratusan kapal karam yang tertanam di perairan negara kita memandang perairan negara pernah menjadi laluan utama perdagangan yang turut dikenali sebagai laluan sutera maritim atau laluan rempah.
Imej sebuah kapal karam yang telah dihasilkan oleh kecerdasan buatan ChatGPT
Sebagai penyelidik arkeologi marin, penulis melihat warisan kebudayaan bawah air sebagai kapsul masa yang telah menyimpan pelbagai ceritera kehebatan nenek moyang kita membelah samudera luas. Khazanah yang tertanam di dasar lautan perairan negara adalah hak mutlak kita yang tidak boleh disangkal dan wajib dipertahankan sebagai warisan yang tidak ternilai.
Minat untuk memartabatkan warisan kebudayaan bawah air negara ini timbul daripada rasa tanggungjawab yang tinggi untuk memelihara, mengkaji, dan memasyhurkan semula kisah-kisah yang terkubur di bawah permukaan laut, agar generasi hari ini dan akan datang tidak kehilangan akar identiti mereka.
Warisan Yang Tenggelam, Tapi Tidak Hilang
Perairan negara kita yang terdiri daripada Laut China Selatan, Selat Melaka, dan perairan timur Sabah, adalah laluan utama dalam jaringan perdagangan maritim yang telah berlangsung selama ratusan tahun. Kapal-kapal dari semenanjung tanah Arab, China, India, dan Kepulauan Nusantara berlabuh, berdagang dan ada diantaranya karam dengan membawa bersama khazanah yang tidak ternilai.
Kapal Bidong, Longquan, Singtai, Wan Li dan Xuande hanyalah sebahagian daripada bangkai kapal karam yang telah ditemui. Namun kita yakin masih banyak lagi yang belum dijumpai. Kapal-kapal ini bukan hanya struktur kayu yang reput dimamah usia, tetapi simbol hubungan diplomatik, ekonomi dan budaya antara kerajaan lama di Tanah Melayu dengan dunia luar pada zaman silam. Seramik dari Dinasti Ming, Sukothai dan Ayuthaya menunjukkan betapa kita bukan sekadar pemerhati, tetapi pemain utama dalam sejarah maritim dunia.

Jumpaan kayu kapal di tapak Kapal Karam Bidong
Sayangnya, naratif sejarah yang diajarkan kepada generasi muda sering kali berpusat di daratan, sedangkan sebahagian besar identiti dan kebangkitan wilayah ini terbentuk melalui laluan laut. Lautan bukan sekadar sempadan geografi, tetapi medan pertukaran ilmu, budaya dan kekuasaan. Dalam konteks ini, memahami sejarah maritim adalah kunci kepada memahami siapa kita sebagai bangsa yang hebat.
Antara tokoh yang wajar diangkat ialah Panglima Awang, seorang pelaut Melayu yang dipercayai telah mengelilingi dunia dengan satu pencapaian luar biasa yang menandingi nama-nama besar dalam sejarah pelayaran global. Kisah-kisah seperti ini jarang disorot dalam wacana arus perdana, sedangkan ia mampu membina jati diri dan keyakinan anak bangsa terhadap keupayaan nenek moyang mereka.
Sejarah maritim bukan sekadar catatan masa lalu, tetapi ianya adalah warisan ilmu, inovasi dan keberanian yang boleh mencetuskan semangat untuk anak-anak kita meneroka bidang seperti sains marin, oseanografi, arkeologi marin dan pemuliharaan warisan.
Oleh itu, usaha menyelamat dan mendokumentasikan tapak-tapak warisan seperti kapal karam Bidong perlu dilihat sebagai sebahagian daripada gerakan memperkasa kembali naratif sejarah maritim negara. Setiap serpihan tembikar, setiap struktur kapal yang tenggelam membawa makna yang besar kepada sejarah kita. Generasi baharu wajar dibekalkan bukan sahaja dengan fakta, tetapi juga dengan rasa bangga dan keterujaan untuk menyelami semula lautan yang suatu ketika dahulu menjadi pentas keagungan bangsa.
Pembangunan Bakat Tempatan Kunci Keberlangsungan Warisan
Namun, untuk menjaga dan meneruskan kajian terhadap warisan kebudayaan bawah air negara ini, pembangunan bakat tempatan dalam bidang arkeologi marin adalah sangat penting. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kepakaran luar, walaupun kerjasama antarabangsa itu penting. Malaysia memerlukan lebih ramai anak tempatan yang bukan sahaja memiliki kepakaran teknikal dan akademik, tetapi juga semangat jati diri dan kecintaan terhadap warisan negara.
Kita perlukan penyelam yang mampu mengendalikan ekskavasi bawah air dengan penuh etika, kurator yang mampu merawat dan memulihara artifak dengan teliti, dan penyelidik yang mampu menulis semula sejarah kita dengan perspektif kita sendiri. Oleh itu, pelaburan dalam latihan, pendidikan, dan peluang kerjaya dalam bidang ini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak.
Dalam usaha memperkasa bidang arkeologi bawah air dan menjamin kesinambungan generasi pelapis yang berkelayakan tinggi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengambil langkah proaktif dengan menghantar salah seorang bakat mudanya, Encik Amir Sharifudin Husaini, ke luar negara untuk menimba ilmu. Beliau kini mengikuti pengajian di bawah Skim Latihan Akademik Muda (SLAM) di Flinders University, Australia yang merupakan sebuah institusi yang diiktiraf sebagai peneraju dalam pendidikan dan penyelidikan arkeologi maritim peringkat global.

Encik Amir Sharifudin memulakan langkahnya dalam dunia akademik dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Sejarah) dari Universiti Malaya. Sejak peringkat awal pengajian, beliau telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap aspek sejarah maritim dan warisan bawah air negara. Minat ini seterusnya diterjemahkan dalam penglibatan aktifnya dalam program-program lapangan dan penyelidikan berkaitan arkeologi bawah air yang dikendalikan oleh UMT, termasuk penyertaan dalam ekskavasi kapal karam Bidong dan dokumentasi tapak berkenaan.
Pendedahan dan latihan di Flinders University akan memperkukuh lagi pengetahuan teknikal serta memperluas wawasannya dalam pendekatan saintifik dan konservasi warisan arkeologi bawah air. Ilmu dan pengalaman yang diperoleh beliau bakal menjadi aset penting sekembalinya ke tanah air, bukan sahaja untuk memperkasa bidang penyelidikan dan pengajaran di UMT, malah untuk memacu pembangunan arkeologi bawah air Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. UMT percaya bahawa pelaburan dalam pembangunan sumber manusia seperti ini merupakan tunjang kepada kejayaan jangka panjang dalam pemuliharaan warisan kebudayaan negara yang tidak ternilai harganya.
Warisan Ini Milik Kita
Adalah sangat penting untuk kita tegaskan bahawa warisan kebudayaan bawah air Malaysia adalah hak milik mutlak negara ini. Segala artifak yang ditemui dalam perairan kita adalah harta negara yang mesti dipelihara, dikawal dan ditadbir oleh rakyat dan institusi tempatan. Kita tidak boleh membiarkan khazanah ini diperdagangkan secara haram, disalah guna, atau dieksport keluar negara tanpa kawalan.
Malangnya, masih terdapat kegiatan pencarian dan penjualan artifak secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ini bukan sahaja satu jenayah, tetapi satu pengkhianatan terhadap sejarah bangsa. Maka penguatkuasaan undang-undang serta kesedaran masyarakat tentang kepentingan warisan ini perlu dipertingkatkan. Pendidikan awam, program kesedaran, dan pameran warisan bawah air perlu disebarluaskan agar rakyat Malaysia memahami bahawa warisan ini bukan semata-mata tentang sejarah, tetapi tentang siapa kita hari ini.
Namun begitu, warisan kebudayaan bawah air masih belum mendapat tempat yang sewajarnya dalam sukatan pelajaran sejarah di peringkat sekolah. Sudut pandang sejarah yang berpusat di daratan telah mengehadkan pemahaman pelajar terhadap jati diri negara sebagai bangsa pelaut yang unggul. Justeru, sudah tiba masanya untuk memasukkan elemen arkeologi marin ke dalam kurikulum sejarah, bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang kepentingan warisan kebudayaan bawah air dan peranannya dalam membentuk identiti negara.
Pengenalan kepada konsep arkeologi marin di peringkat sekolah mampu memupuk minat sejak usia muda, sekali gus membuka laluan kepada generasi baharu untuk meneroka bidang ini sebagai kerjaya masa depan. Selain menyemai rasa cinta kepada warisan, ia juga akan memperkasa minat pelajar terhadap bidang berkaitan seperti sains marin, sejarah, konservasi, dan teknologi pengimejan bawah air. Langkah ini bukan sahaja memperluas cakupan pendidikan sejarah, malah menyumbang kepada pembangunan ilmu dan pemuliharaan warisan negara yang lebih menyeluruh.
Merdeka Dari Perspektif Seorang Penyelidik
Setiap kali bulan kemerdekaan menjelma, setiap kali itulah semangat kemerdekaan semakin membara. Namun bagi seorang penyelidik arkeologi bawah air, erti merdeka membawa makna yang lebih mendalam. Merdeka bukan sahaja bebas dari penjajahan fizikal, tetapi juga bebas dari kejahilan tentang sejarah kita sendiri. Ia adalah kebebasan untuk menyelusuri akar budaya dan memperjuangkan naratif kita tanpa terikat pada tafsiran luar.
Sebagai seorang anak Malaysia, penulis memikul tanggungjawab ini bukan kerana ia pekerjaan semata-mata, tetapi kerana cinta saya terhadap warisan bangsa. Setiap kali menyelam ke dasar laut, menggali serpihan kapal lama, atau membersihkan artifak berusia ratusan tahun, penulis merasakan seolah-olah sedang berbicara dengan masa silam, mendengar bisikan para pelaut dan pembina kapal yang suatu masa dahulu, menjadikan tanah ini sebagai nadi perdagangan dan budaya.
Kemerdekaan bagi penulis ialah apabila anak bangsa mampu menulis semula sejarahnya dengan bukti dari dasar laut, apabila universiti-universiti tempatan melahirkan pakar arkeologi marin yang disegani dunia, dan apabila masyarakat kita sendiri bangga serta menghargai warisan kebudayaan yang ada.

Bersama Menjaga Warisan
Warisan kebudayaan bawah air adalah milik bersama tanpa mengenal kaum, agama, atau politik. Ia adalah manifestasi identiti nasional yang merentasi sempadan dan masa. Maka usaha untuk menjaga dan memeliharanya perlu melibatkan semua pihak merangkumi kerajaan, institusi pendidikan, masyarakat tempatan, dan pertubuhan bukan kerajaan.
Kita perlu memperkuatkan dasar dan polisi berkaitan perlindungan warisan bawah air. Jabatan Warisan Negara, UMT, dan institusi lain perlu diberikan sokongan berterusan untuk menjalankan penyelidikan dan latihan. Kita perlu membina muzium atau galeri khusus untuk warisan kebudayaan bawah air agar artifak ini bukan hanya disimpan, tetapi dihayati dan dibanggakan oleh rakyat.
Lebih penting lagi, kita perlu menyemai rasa cinta terhadap warisan ini di kalangan anak muda. Bakat muda harus diasuh dengan peluang, pendedahan, dan sokongan. Mereka perlu melihat bahawa kerjaya dalam arkeologi bawah air bukan hanya mulia, tetapi penuh makna dalam pembinaan jati diri bangsa.

Arkeologi marin boleh disifatkan sebagai satu medan yang terhidang elemen-elemen patriotisme dalam bentuk yang paling sunyi tanpa sorakan, tanpa kemasyhuran, tetapi penuh dengan keberanian dan ketekunan.
Memartabat Nilai Sejarah
Setiap bangsa yang besar ialah bangsa yang menghormati dan menjaga warisannya. Malaysia, sebagai negara maritim yang kaya dengan sejarah, mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memelihara dan memartabatkan warisan kebudayaan bawah air. Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu segelintir individu sahaja. Ia perlu digalas bersama.
Sebagai seorang penyelidik, penulis percaya bahawa setiap artifak yang ditemui bukan hanya objek sejarah, tetapi sebagai manifestasi hebat dalam menggarap naratif sejarah negara. Setiap serpihan seramik, kayu kapal dan pelbagai jumpaan warisan semuanya mencipta berbicara tentang siapa kita dahulu, dan siapa kita sekarang.

Merdeka bukan sekadar tanggal 31 Ogos, merdeka ialah apabila kita sedar bahawa identiti kita tidak datang dari luar, tetapi dari laut yang mengelilingi kita, dari sejarah yang tertanam di dasarnya. Merdeka ialah apabila kita tidak lupa bahawa kita pernah hebat, dan bahawa kita masih boleh menjadi hebat jika kita menjaga warisan kita.
Di dasar laut sana tertanam khazanah yang menuntut kita sebagai pewaris dan penjaga yang akan menentukan sama ada warisan ini akan terus hidup dalam garapan sejarah atau hilang ditelan masa.
Oleh Prof. Madya Dr. Hasrizal Bin Shaari (riz@umt.edu.my)
*Penulis merupakan Ahli Arkeologi Berdaftar Jabatan Warisan Negara (Segmen Bawah Air) dan pensyarah kanan bidang geokimia marin di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu



